KUALA LUMPUR – Siling di pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Kota Kinabalu, Sabah runtuh dalam satu kejadian semalam.

Insiden itu dilaporkan berlaku di aras 9 Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di mana pejabat PTPTN itu beroperasi.

Kementerian Kewangan di Putrajaya dalam satu kenyataan di sini berkata, dalam kejadian jam 7.40 petang itu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kerja-kerja penilaian awalan kejadian runtuhan sedang dijalankan oleh perunding dan dipantau oleh pihak CIDB dan pengurusan UTC Sabah.

“Rentetan daripada kejadian itu, keseluruhan aras 9 pejabat PTPTN itu ditutup buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penilaian,” sebut kenyataan yang sama.

Sehubungan itu, jabatan yang terlibat dengan penutupan aras 9 adalah PTPTN dan Jabatan-jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia iaitu Jobs Malaysia, Jabatan Tenaga Manusia dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Menurut kementerian kewangan, perkhidmatan jabatan lain di UTC Sabah itu tidak terganggu akibat insiden ini dan beroperasi seperti biasa.

“Sementara kerja-kerja pembaikan dijalankan, pelanggan bolehlah mendapatkan perkhidmatan PTPTN di Pejabat PTPTN Negeri Sabah B-01-06 Tingkat 1 & B-02-06 Tingkat 2 Warisan Square, Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu.

“Bagi perkhidmatan berkaitan Kementerian Sumber Manusia bolehlah berurusan di Bilik Mesyuarat Aras 10, UTC Sabah,” tegas kementerian itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast