KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berterusan mempertahankan tindakan memansuhkan senarai hitam nama peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ini kerana ia merupakan tindakan mempertahankan hak asasi seseorang individu.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, selain itu langkah mengeluarkan nama-nama peminjam dari senarai hitam daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebenarnya bukan hanya sekadar janji manifesto semata-mata.
“Bayangkan, sesiapa yang berhutang dengan bank tidak akan disenarai hitam di Jabatan Imigresen walaupun tidak membuat bayaran secara konsisten atau ada yang tidak membayar. Sebaliknya, hanya disenarai hitam jika mencapai tahap bankrap.
“Saya rasa tidak konsisten hutang dengan bank, jika bankrap baru senarai hitam tapi pinjaman pelajaran terus dimasukkan dalam senarai hitam, jadi kita kena konsisten dalam hal ini juga.
“Terbaru, PTPTN dengan kerjasama JIM telah berjaya menyenarai putih seramai 429,945 peminjam dari senarai hitam setakat ini. Proses ini telah dijalankan sejak 24 Mei lalu dan selesai sepenuhnya pada 6 Jun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN) kenapa penghutang PTPTN yang ingkar membayar balik hutang dikeluarkan daripada senarai hitam.
Selain itu, Azeez Rahim turut bertanya apakah antara inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan penghutang ingkar membayar balik hutang mereka.
Nie Ching berkata, pihaknya tidak menafikan berlaku penurunan kutipan pinjaman PTPTN sejak Januari lalu bukan kerana kerajaan PH semata-mata tetapi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) juga ada menyumbang.
“Dasar kerajaan BN (Barisan Nasional) dahulu yang menambah tempoh bayaran pinjaman turut menyumbang kepada penurunan tersebut.
“Kutipan pada Januari tahun lalu ialah RM351 juta, manakala tahun ini ialah RM297 juta. Trend yang sama kita boleh lihat pada Februari hingga Jun.
“Sebenarnya faktor penurunan ada dua, pertama kerana PH sedang mengkaji semula cara bayaran balik, keduanya, pengumuman kerajaan BN dahulu yang telah mengizinkan ‘grace period’ sebanyak 12 bulan dan bukan enam bulan sebelum itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette