Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hadir ke Majlis Edaran Pek Cenderahati Sempena Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur Sentral’ hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan sebanyak 105,168 tiket ETS sudah habis dijual sempena Tahun Baharu Cina tahun ini.

Manakala sebanyak 33,831 daripada 43,210 tiket kereta api bagi laluan Pantai Timur sudah terjual.

Kesemua tiket ini melibatkan perjalanan sempena cuti Tahun Baharu Cina antara 24 Januari hingga 2 Februari 2025.

Anthony yang teruja ketika mengumumkan perkara itu berkata, KTMB juga  memperkenalkan perjalanan tren khas pergi dan balik dari stesen KL Sentral ke Butterworth dengan menawarkan 396 tiket untuk setiap perjalanan yang mula dijual pada 21 Januari lalu.

“Perkhidmatan ETS ini sebenarnya mendapat permintaan tinggi untuk perjalanan jauh terutamanya ketika musim perayaan dan hujung minggu.

“Oleh itu,  kerajaan sedang dalam usaha untuk menambah gerabak bagi kekerapan perkhidmatan ini. Pastinya ini akan menjadi lebih popular daripada pengguna yang menggunakan kenderaan mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Edaran Pek Cenderahati Sempena Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur Sentral’ di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Pengarah Perbadanan Aset Keretapi, Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Anthony juga sempat beramah mesra dengan pengguna ETS di Kuala Lumpur Sentral sambil memberikan ‘ang pow’ dan sedikit makanan tradisional masyarakat Cina.

Dalam pada itu, keadaan stesen Sentral itu hari ini agak sesak apabila masyarakat Cina mengambil kesempatan pulang lebih awal sebelum sambutan Tahun Baharu Cina ke kampung halaman masing-masing.

Walaupun sesak namun keadaan lokasi itu tetap terkawal dengan kehadiran petugas stesen dan pengawal keselamatan di pelosok lokasi itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast