Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaburan langsung asing (FDI) negara susut kepada RM41 bilion pada tahun 2017 berbanding RM47 bilion pada tahun sebelumnya.

Aliran FDI disalurkan terutamanya dalam sektor perkhidmatan, khususnya dalam aktiviti hartanah, kewangan dan insurans / takaful; dan maklumat dan komunikasi; perlombongan & pengkuarian merupakan penyumbang kedua, diikuti sektor pembuatan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, rantau Asia menyumbang sebanyak 63.5 peratus, diikuti Eropah dan Afrika.

Bagi Asia, Hong Kong kekal sebagai negara pelabur utama, manakala China mengatasi Singapura sebagai penyumbang kedua terbesar.

Pada akhir tahun 2017, kedudukan FDI berkembang kepada RM570.3 bilion berbanding RM547.4 bilion pada 2016 didorong oleh aliran masuk FDI yang berterusan.

Tambahnya, Malaysia juga merekodkan Pelaburan Langsung Malaysia di Luar Negeri (DIA) lebih rendah pada tahun lalu sebanyak RM24.9 bilion berbanding RM33.2 bilion pada tahun 2016.

DIA pada tahun 2017 terutamanya disalurkan dalam sektor perkhidmatan, perlombongan & pengkuarian dan pembuatan, sektor perkhidmatan khususnya dalam aktiviti kewangan dan insurans/takaful dan hartanah.

Asia merupakan destinasi utama bagi aliran DIA Malaysia, menyumbang sebahagian besar daripada pelaburan dengan RM13.7 bilion, diikuti oleh Amerika dan Eropah.

Bagi rantau Asia, aliran bersih DIA terutamanya ke Singapura dan Indonesia, sementara Turkmenistan menggantikan India sebagai destinasi ketiga terbesar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast