Datuk Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KLANGĀ – Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis diingatkan tidak lagi terpedaya dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) yang hanya ditunaikan pada saat akhir menjelang tamatnya penggal perkhidmatan.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, Kerajaan PH di Selangor hanya menunaikan janji mereka pada awal pentadbiran bagi insentif murah sahaja berbanding skim mahal dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

“Mereka mengemukakan janji-janji tidak munasabah sama dengan 2013, tapi 2008 janji untuk menawan Selangor, mereka menunaikan janji yang murah dulu, bagi 20 meter padu air percuma bernilai RM11.40.

“Bila dekat pilihan raya baru dia buat benda-benda yang mahal contohnya talian bebas tol untuk melaporkan kalau ada jalan berlubang dan sebagainya.

“Mereka juga ada beri RM75 untuk penjagaan anak, bantuan untuk warga emas, ibu tunggal, pelajar yang masuk universiti RM1,000 namun semua janji itu bila dekat pilihan raya 2013 baru mereka tunaikan,” katanya ketika ditemui semasa membuat Walkabout di Pasar Malam Taman Sri Andalas, di sini, hari ini.

Lokman
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam beramah mesra bersama orang ramai sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis di Tapak Pasar Malam, Taman Sri Andalas, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 24 JULAI 2018.

Lokman berkata, isu longkang tersumbat dan sampah yang dibangkitkan calon PH daripada PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni dalam kempen PRK Sungai Kandis tidak relevan kerana ia bukan perkara baharu.

“Kita perjuangkan isu sampah sudah lama, begitu juga masalah denggi. Kita tinggalkan rizab RM1.6 bilion pada 2008 kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tapi apa mereka buat?

“Sama juga masalah jalan yang dibangkitkan Mohd Zawawi. Kita tengok masalah jalan ini hanya dekat dengan pilihan raya 2013, iaitu dua bulan sebelum pilihan raya, baru mereka membuat talian bebas tol.

“Terpulang kepada rakyat sama mahu pilih sebuah kerajaan yang menjaga rakyat sepanjang tempoh lima tahun ataupun nak pilih yang berkhidmat di penghujung penggal bagi memastikan mereka mendapat kuasa semula,” katanya.

Katanya lagi, pengundi diingatkan kemenangan BN dalam pilihan raya kali ini bukan untuk mengambil alih kerajaan negeri sebaliknya untuk memastikan pembangkang di Selangor kuat dan progresif bagi memastikan segala janji ditunaikan.

“Sekarang ini dalam Dewan Undangan Negeri Selangor ada lima orang saja pembangkang, saya cuma nak jadi orang yang keenam

“Kalau kita dapati pentadbiran kerajaan negeri tidak berapa cekap, mungkin boleh kita buat teguran tapi bukan dengan membuta tuli, tapi membina dan konstruktif.

“Kalau kita perlu memberikan cadangan kepada kerajaan negeri, walaupun ia akan menguntungkan kerajaan negeri bila dilaksanakan, apa salahnya,” katanya. – MalaysiaGazette