Proton pernah menguasai hampir 80 peratus pasaran kenderaan
Proton Iriz

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan Proton yang dilancarkannya tiga dekad lalu tidak pernah gagal seperti yang didakwa pihak tertentu kerana ia pernah menguasai pasaran automotif satu ketika dahulu.

Perdana Menteri berkata, Proton pernah menguasai hampir 80 peratus pasaran kenderaan tempatan, selain memiliki rizab sebanyak RM4 bilion dan kilang canggih yang dibina dengan peruntukan sendiri berujumlah RM1.8 bilion ketika itu.

“Proton tidak pernah gagal, apa yang telah menyebabkan ‘kegagalan’ itu adalah kerana kerajaan pemerintah tidak cekap dan mahir dengan industri automotif sehingga menyebabkan kemerosotan teruk.

“Dahulu, Proton berjaya tembusi pasaran Malaysia dan luar negara. Malah dijual 25,000 unit di UK dan lain-lain tempat satu ketika dahulu.

“Sejak 10 tahun dahulu, kerajaan terdahulu telah benarkan segala jenis kereta dari luar tembusi pasaran negara, tetapi pada masa yang sama, ada negara tidak membenarkan kita tembus ke pasaran mereka. Syarikat gergasi masuk dan tidak dapat ditandingi oleh Proton.

“Industri automotif hadapi masalah, ramai tidak dapat bersaing dengan bekalan luar negara. Bahkan, syarikat Malaysia bekal barangan kepada Proton yang diimport dari negara lain. Ini bermakna kita tidak boleh keluarkan barangan kita dengan harga yang kompetitif. Projek Proton tidak pernah gagal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) tentang projek kereta nasional ketiga yang diumumkan oleh Mahathir ketika melawat Jepun baru-baru ini.

Soal Ka Siong, apakah kerajaan baru (Pakatan Harapan) akan mengambil iktibar mengenai kegagalan Proton.

Jelas Mahathir, ketika ini pihaknya sedang dalam peringkat kajian dasar automatif nasional untuk memastikan industri automotif tempatan kekal kompetetif.

“Dasar yang diamalkan sebelum ini sebenarnya membawa kepada kemerosotan kepada pasaran tempatan, Proton dianggap gagal kerana itu. Ketika ini, kita sedang dalam peringkat kajian bagi mengubah dasar sebelum ini.

“Proton pernah minta bantuan kepada kerajaan terdahulu namun bantuan tidak diberi tetapi apabila ianya di jual kepada negara asing baru bantuan diberi. itupun selepas ianya dikuasai oleh syarikat asing.

“Selagi ada dasar sebegitu, industri tempatan (tidak) capai kemajuan, dasar dulu utamakan import daripada pengeluaran tempatan, kerajaan kini ada dasar lain.

“Parti lawan, sila lihatlah apa yang kami akan buat selepas ini. Proton pernah berjaya ketika ‘zaman purba’ dulu’,” ujarnya.

Proton diasaskan oleh Mahathir pada 1983 dan syarikat itu memulakan pengeluaran pada 1985.

Selepas persaraannya, Mahathir dilantik sebagai Pengerusi Proton namun beliau meletak jawatan pada Mac 2016 setelah meninggalkan UMNO kerana tidak puas hati dengan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

DRB-Hicom menjual 49.9 peratus kepentingannya dalam Proton kepada syarikat China, Zhejiang Geely pada awal tahun lepas.

Jualan Proton ketika ini turun kepada 70,991 unit pada tahun lepas berbanding 72,291 unit pada 2016. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast