KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menempelak tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjadikan ‘bahan lawak’ semasa kempen PRK Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis baru-baru ini.
Mohamad Sabu atau lebih mesra sebagai Mat Sabu mencabar Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan untuk mengulangi kembali kenyataannya di Dewan Rakyat supaya beliau dapat menjawabnya secara rasmi.
Jelas beliau, tindakan Najib juga tentang kemampuannya untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pertahanan itu sebenarnya tidak gentleman.
“Komen di luar saya tak mahu jawablah… saya nak jawab komen kalau dalam Parlimen.
“Kalau berani komen di luar, bak kata orang, ‘tumbuk bawah pusat’, komen sebegitu tidak gentleman, komen di dalam lebih baik. Saya jawab,” katanya kepada pemberita di luar lobi Parlimen hari ini.
Tambah Mat Sabu, masih terlalu bagi mana-mana pihak termasuk Najib melabelnya kerana beliau baharu sahaja menjawat jawatan itu dalam tempoh dua bulan.
“Masih sangat awal untuk komen kerana saya baru dua bulan dalam jawatan ini. Tumpuan saya hanya terhadap kementerian saya. Tunggu dan lihat sebelum menilai,” tegasnya.
Menurut portal Free Malaysia Today baru-baru ini, Najib didakwa mempertikaikan kemampuan Mat Sabu yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Raja menjawat jawatan Menteri Pertahanan.
Najib pernah menjawat jawatan itu selama hampir 14 tahun ketika kerajaan Barisan Nasional masih lagi menerajui negara ketika itu. – MalaysiaGazette