KUALA LUMPUR – Kerajaan Australia mengesahkan belum menerima permohonan rasmi daripada Malaysia berhubung isu ekstradisi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar ke negara ini.
Menteri Luarnya, Julie Bishop berkata, perkara yang sama telah dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
Beliau turut memberitahu Sirul kini berada di Pusat Tahanan Imigresen negara itu.
“Jangan buat spekulasi tentang isu ini kerana kami belum menerima permohonan rasmi dari Kerajaan Malaysia untuk membawa balik Sirul Azhar ke negara ini.
“Kedudukan kerajaan Australia terhadap kes tersebut mengambil kira sama ada hukuman mati atau tidak berlaku di negara yang mencari ekstradisi itu atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen di sini hari ini.
Pada Jun lalu, sumber The Guardian melaporkan pihak berkuasa Australia meluluskan permintaan Malaysia untuk mengekstradisi Sirul Azhar Umar yang disabitkan dengan pembunuhan berprofil tinggi model wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 20 Oktober 2006.
Sumber itu berkata, Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan Australia untuk meminta Sirul dibawa balik ke Malaysia.
Julie kini berada di Kuala Lumpur untuk lawatan kerja selama tiga hari sejak semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata perbincangan lanjut perlu diadakan antara kedua-dua negara untuk mempertimbangkan penghapusan hukuman mati.
“Ini adalah pendirian yang sudah diamalkan oleh kerajaan Australia sejak sekian lama. Kita menentang hukuman mati sama ada di negara sendiri atau luar, malah kita menyokong supaya menghapuskan hukuman mati.
“Kita antara ahli Majlis Hak Asasi Manusia (PBB) dan penghapusan hukuman mati adalah salah satu tonggak dari advokasi PBB,” katanya.
Sementara itu, Sirul Azhar yang kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen di Brisbane berada di negara itu sejak 20 Januari 2015.
Pada 2009, Sirul Azhar dan seorang lagi bekas pegawai UTK, Azilah Hadri dijatuhkan hukuman kerana membunuh Altantuya 11 tahun lalu.
Sirul Azhar bagaimanapun melarikan diri ke Brisbane pada Oktober 2014 ketika mahkamah mempertimbangkan semula keputusan ke atasnya, bergantung kepada rayuan.
Dia kemudian dijatuhkan hukuman mati pada 2015 namun tidak hadir ke mahkamah dan beberapa hari selepas itu, Sirul Azhar ditahan oleh pihak imigresen Australia kerana masalah visa.
Di bawah undang-undang Australia, negara itu wajib memberi visa perlindungan jika seorang individu menghadapi pelanggaran hak asasi manusia yang serius atau seseorang berdepan risiko dilucutkan hak sewenang-wenangnya
Bagaimanapun, pemohon tidak layak untuk dilindungi jika dia telah melakukan jenayah perang, kemanusiaan atau bukan politik yang serius sebelum memasuki Australia. – MalaysiaGazette