ENGLAND – Persatuan Bola Sepak England mengesahkan pihaknya memulakan langkah pertama pembidaan sebagai tuan rumah bola sepak Piala Dunia 2030.
England kali pertama menjadi tuan rumah temasya empat tahun sekali itu ialah pada tahun 1966.
FA melancarkan kajian kemungkinan Julai lalu bagi membolehkan England menjadi calon tuan rumah selepas 12 tahun.
FA difahamkan tidak akan membuat sebarang keputusan mengenainya sehingga bidaan serius dikemukakan tahun hadapan.
Tetapi, mereka yakin Persatuan Bola Sepak Kesatuan Eropah (UEFA) akan kembali dengan bidaan yang mampu memastikan England menjadi tuan rumah kejohanan paling berprestij dunia itu.
Pengerusi FA, Greg Clarke berkata, bulan lalu Lembaga FA bersetuju untuk mengendalikan kerja kajian kemungkinan bagi meletakkan England sebagai calon berpotensi UEFA menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030.
“Kerja kajian kemungkinan itu akan dijalankan semasa musim baharu dan tiada sebarang keputusan akan dibuat sehingga tahun 2019,” katanya.
Clarke bagaimanapun menjauhkan diri daripada mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan England akan mencuba bidaan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 sekiranya sebarang salah laku ditemui dalam bidaan oleh Qatar.
Rusia berjaya menganjurkan Piala Dunia 2018 yang melabuh tirai 15 Julai lalu.- MalaysiaGazette