KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan sedang melakukan penstrukturan semula kepimpinan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).
Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, langkah itu melibatkan kepimpinan peringkat bawahan serta cawangan di negeri-negeri.
Katanya, ia dilakukan bagi mengelak berlaku unsur-unsur yang tidak sewajarnya oleh mereka yang berkepentingan hingga memberikan kesan buruk kepada peminjam Tekun.
“Sebenarnya Tekun kalau kita tengok merupakan agensi pemberi pinjaman dengan kadar amat rendah iaitu empat peratus sahaja.
“Kemungkinan berlaku di zaman kerajaan dulu, mungkin ada unsur-unsur melibatkan kepentingan kepimpinan peringkat bawahan dan mungkin ada unsur penyalahgunaan kuasa dan campurtangan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Tekun di sini petang tadi.
Terdahulu, Mohd. Redzuan mengadakan pertemuan selama dua jam dengan wakil agensi tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai pengoperasian mereka.
Hadir sama pada sesi perjumpaan itu timbalannya, Dr. Hatta Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Tekun, Datuk Baharom Embi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kanan Bahagian Kewangan, Omar Othman.
Semalam, Mohd. Redzuan memberitahu Dewan Rakyat, kegagalan kerajaan terdahulu membuat perincian secara jelas menjadi penyebab peminjam Tekun gagal membayar balik pinjaman mengikut tempoh ditetapkan.
Perkara itu katanya berpunca akibat kos faedah yang terpaksa dibayar terlalu tinggi.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd. Redzuan menegaskan, langkah penstrukturan itu adalah bagi mengalih individu berkepentingan di dalam Tekun kepada mereka yang profesional.
“Saya berpuas hati hari ini dan harap gejala-gejala itu tidak akan berterusan.
“Dengan adanya penstrukturan ini kita akan pastikan kadar yang kenakan empat peratus, itu sahaja yang dikutip,” ujarnya. – MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/blog/2018/08/02/timbalan-menteri-dedah-punca-peminjam-hutang-tekun/