Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad

LANGKAWI – Taman tema dapat menjadi satu lagi produk yang boleh dimajukan di Langkawi untuk menarik lebih ramai pelancong sepanjang masa di pulau ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Katanya, pulau ini masih mempunyai keluasan tanah yang mencukupi untuk digunakan bagi memulakan projek seumpama ini dan beberapa syarikat Malaysia sudah menunjukkan keupayaan untuk melaksanakannya.

“Ramai sudah memasuki bidang ini (mengusahakan taman tema) dan mereka telah berjaya mendapat sambutan yang baik,” katanya ketika berucap merasmikan Langkawi Nature Park, sebuah taman semulajadi yang menjadi tarikan pelancongan terbaharu di pulau ini.

Menurutnya penganjuran acara-acara antarabangsa seperti Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang diadakan sejak 1990-an telah berjaya menarik jumlah pelancong yang ramai tetapi ini hanya berlaku dalam beberapa hari sahaja.

“LIMA hanya diadakan untuk empat hari sahaja. Kita mahukan projek pelancongan yang boleh menarik ramai pelancong sepanjang tahun dan ini dapat dilakukan melalui projek taman tema,” katanya. — BERNAMA