Suasana salah satu pondok panas DUN Sungai Kandis di luar Pusat Daerah Mengundi (PDM), Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 04 OGOS 2018.

SHAH ALAM – Ada beberapa penduduk dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Jawa tidak tahu di kawasan mereka berlaku pilihan raya kecil, dan hari ini adalah hari mengundi.

Wartawan MalaysiaGazette yang kebetulan berada di sebuah kedai makan di kampung itu terdengar perbualan empat penduduk masing-masing bertanyakan kenapa ada bendera parti dipasang di sepanjang lorong ke perumahan mereka.

“Kenapa ramai beratur di sekolah pagi tadi? Mereka nak ambil bantuan dari kerajaan negeri ke? tanya seorang lelaki berusia sekitar 60-an.

“Kan hari ini hari mengundi. Kamu tak pergi mengundi ke?” jawab rakannya, yang hampir sebaya dengan lelaki itu.

“Mengundi apa lagi, kan baru mengundi (Pilihan Raya Umum ke-14)?” tanya lelaki itu lagi.

Dalam perbualan mereka berempat itu terselit beberapa pertanyaan melucukan dari rakan lain yang duduk semeja.

“Kita (tinggal) dalam DUN apa ya? DUN Sentosa, kan?” tanya rakan yang lain.

“Sentosa bukan DUN, Sentosa peti undi (Pusat Daerah Mengundi). Kita ni duduk (tinggal) dalam DUN Sungai Kandis,” ujar seorang lagi lelaki yang duduk semeja itu.

Penulis tidak tahu apa kesudahan tindakan yang diambil oleh keempat-empat lelaki ini, sama ada akan pergi mengundi sebelah petang atau mengabaikannya, kerana ketika ini mereka masih seronok berbual.

Sepanjang 13 hari tempoh berkempen ditetapkan SPR dari 21 Julai hingga 3 Ogos semalam, calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam begitu yakin mereka sudah bertemu dengan semua pengundi di PDM.

Bagaimanapun, ternyata masih ada yang tertinggal dan tidak tahu pun keadaan politik semasa yang berlaku di kawasan mereka seperti hari ini adalah hari mengundi bagi memilih wakil rakyat baru dalam DUN Sungai Kandis.

Ini dikuatkan dengan sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengeluarkan peratusan keluar mengundi dari jam 8 pagi hingga 10.30 pagi ini sekitar 18 peratus daripada jumlah keseluruhan 51,230 pengundi berdaftar bagi suku pertama 2018.

Jumlah itu dianggap perlahan berbanding pada PRU14 yang lalu, yang mana dalam waktu sama sudah mencapai 40 peratus keluar mengundi.

Jika ‘trend’ ini berlanjutan sehingga waktu tamat jam 5.30 petang, ia sudah tentu merisaukan Mohd Zawawi dan Lokman yang menaruh harapan untuk menambah jumlah majoriti undi masing-masing.

Agak melucukan, ada juga penduduk tidak tahu DUN Andalas (nama lama) telah ditukar kepada nama baharu DUN Sungai Kandis selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya tahun lalu. – MalaysiaGazette