Penganalisis bebas, Abdul Hamid Bin Yeop Zainuddin bercakap pada sesi temubual eksklusif mengenai saman DOJ dan analisis keputusan PRU-14 di Studio Malaysia Gazette. foto IQBAL BASRI, 30 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Pemberian minyak percuma kepada rakyat perlu dilaksanakan oleh kerajaan bukan pihak swasta.

Konsep itu dilihat hanya boleh ditunaikan melalui penggunaan teknologi bahan api berasaskan air untuk kenderaan seperti dicadangkan oleh tokoh wartawan, Wan Noor Hayati Wan Alias atau lebih dikenali Ibuyati baru-baru ini.

Penganalisis bebas, A. Hamid YZ berkata, idea itu boleh ‘diterjemahkan’ melalui teknologi Waterfuel ciptaan dan hak milik sekumpulan pengkaji termasuk Ibuyati iaitu membolehkan enjin menggunakan air sebagai bahan api.

Ibuyati sebelum ini pernah mencadangkan projek ‘bagi rakyat minyak percuma’ susulan sambutan dingin semua pihak terhadap saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir mengenai kereta nasional ketiga baru-baru ini.

Tinjauan Hamid mendapati, projek itu amat dialu-alukan oleh rakyat bagi mengurangkan tekanan mendesak akibat kenaikan harga barang yang kini semakin menggila.

Rasional mudahnya, katanya, jika Petronas (bukan syarikat asing) tidak boleh menurunkan harga minyak untuk rakyat Malaysia, maka kerajaan kena bagi ‘minyak percuma’ kepada mereka.

“Persoalannya bagaimanakah kerajaan boleh memberi ‘minyak percuma’ dan bukan subsidi kepada rakyat?” soalnya yang juga pakar matematik gunaan kepada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Menurut Hamid, ia dapat diaplikasikan dengan mudah bak kata pepatah Melayu ‘Hendak hilangkan lapar, jangan hilangkan lapar. Makan nasi maka lapar pun hilanglah’.

“Jadi, nak beri ‘minyak percuma’, jangan beri ‘minyak percuma’. Beri Waterfuel maka rakyat dapatlah ‘minyak percuma’.

“Rakyat biasa tak perlu faham pun matematik kiraannya, yang penting mereka sedar, tahu dapat jimat minyak. Dapat minyak percuma. Cukup”.

“Ini bukan dilaksanakan seperti yang dimomokkan suatu ketika dahulu di mana pengguna membawa kenderaan ke stesen minyak dan mengisi penuh minyak tetapi dibayar oleh pihak penaja. Memanglah pengguna dapat percuma minyak itu tetapi berapa lama boleh dilakukan?” soalnya lagi.

Menurut Hamid, ia dalah minyak yang ditaja dan dinikmati oleh hanya beberapa orang pada sesekali masa berkempen sahaja.

“Siapa yang sanggup menaja selama-lamanya? Sebaliknya jika pengguna misalnya membeli satu tangki minyak kenderaannya, ia dapat percuma satu tangki lagi atau beli satu tangki dapat dua tangki percuma, sudah tentu lebih bermanfaat dan membantu.

“Sama juga konsepnya jika pengguna beli satu tangki tetapi bayar harga untuk setengah tangki sahaja dan ini boleh dilakukan selama-lamanya dan di mana-mana stesen minyak di seluruh dunia, bukan di Malaysia sahaja,” tegasnya lagi.

Katanya, sesuatu yang tidak akan ditolak oleh stesen minyak ialah mereka boleh menjual minyak mengikut harga pasaran tanpa perlu kawalan harga turun naik seperti sekarang.

“Pada orang kaya mereka tak peduli pun berapa harga minyak sebab itulah mereka bukan kumpulan sasaran penerima subsidi.

“Kerajaan pula tidak perlu lagi membayar subsidi minyak kerana
pengguna sendiri telah turunkan harga minyak walaupun harga minyak tidak turun,” ujarnya.

Secara matematiknya, Hamid menjelaskan, jika satu tangki berharga RM100 dengan satu tangki percuma bermakna RM100 itu untuk dua tangki.

Dengan kata lain harga satu tangki hanyalah RM50 sahaja.

“Walaupun harga yang dijual RM100 satu tangki tetapi sebenarnya pengguna bayar RM50 sahaja. Atau jika harga jualan petrol RON95 ialah RM2.20 seliter pengguna membayarnya hanya RM1.10 seliter sahaja,” katanya.

Dalam tetapan percubaan yang dilakukan Hamid menggunakan MPV Nazaria 2500 cc yang ‘makan minyak dengan teruk’ sebelum ini, beliau hanya perlu mengisi satu tangki penuh dan mendapat ‘tiga tangki percuma’.

Satu tangki penuh berharga RM150, katanya, maka empat tangki (termasuk tiga percuma) ialah RM600 tetapi harga yang dibayar adalah untuk satu tangki sahaja iaitu RM150.

Maka katanya, RM150 untuk empat tangki bermakna harga untuk satu tangki pada pengguna sebenarnya hanyalah RM37.50 sahaja iaitu penjimatan sebanyak 75 peratus.

“Penjimatan 75 peratus ini bermakna penggunaan hanya 25 peratus jika harga jualan petrol adalah RM2.20 harga yang dibayar oleh pengguna adalah 55 sen sahaja.

“Saya ulang, hanya bayar 55 sen untuk minyak berharga RM2.20! Sesuatu yang selama ini semua orang kata mustahil dan ia penjimatan paling banyak yang pernah dicapai dalam ujikaji ialah sebanyak 95 peratus tanpa menggunakan sebarang bantuan peralatan canggih seperti yang ada di universiti,'” jelasnya lagi.

Penjimatan minyak itu adalah disebabkan oleh Waterfuel yang dipasang pada kenderaan.

Katanya, tidak timbul masalah alasan selama ini bantuan tidak sampai ke sasaran kerana Waterfuel itu diberikan sekali sahaja kepada pengguna.

“Pelbagai cara kerajaan boleh memilih menentusahkan sasaran yang layak menerimanya. Misalnya melalui rekod penerima bantuan BRIM. Saya pun boleh melakukannya,” katanya.- MalaysiaGazette

 

EKSKLUSIF: Kereta nasional ketiga perlu guna tenaga air

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast