Nuridah Salleh
Nuridah Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) memandang serius pengakuan dan pendedahan eksklusif Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining mengenai wujudnya kerjasama dengan parti pembangkang di Malaysia sejak 2002.

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, perkara itu turut diakui oleh kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam, yang mengakui wujud hubungan dengan IRI dalam program kursus dan latihan yang dianjurkan oleh badan pemikir tersebut.

Katanya, penglibatan langsung IRI dengan parti politik di negara ini akan membayangi ideologi yang turut diagendakan oleh mereka.

“Oleh sebab itu, ia dilihat sebagai ancaman terhadap perjalanan politik di negara ini, dan Kita tidak menafikan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu Islam berasa tidak selesa, bimbang dan resah dengan isu asas perlembagaan yang dipolemik oleh pihak tertentu setelah peralihan kepimpinan negara pasca PRU-14,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Nuridah, perkara berkaitan IRI lebih menjadi isu utama dan perlu diselesaikan segera kerana melibatkan campur tangan kuasa luar dan asing dalam urus tadbir negara.

Justeru, beliau mendesak agar siasatan lanjut dilakukan bagi mengelakkan campur tangan berterusan daripada kuasa asing. – MalaysiaGazette