KUALA LUMPUR – Syarikat pengendali Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), Bestinet Sdn. Bhd. (Bestinet) digantung serta-merta daripada menguruskan kemasukan pekerja asing dari Nepal ke negara ini.
Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, keputusan itu dibuat kerajaan susulan dakwaan syarikat swasta itu terlibat dalam eksploitasi pekerja warga Nepal itu.
Katanya, berikutan insiden itu, kerajaan Malaysia dan kerajaan Nepal akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dalam penyelesaian perkara berkenaan.
“Kami terima aduan (kes) dari Nepal dan kami tidak mempunyai MoU dengan mereka pada masa ini untuk menyelesaikan masalah itu.
“Saya akan bawa perkara ini ke kabinet untuk mendapatkan kelulusan tertentu sebelum ke sana (Nepal) untuk melakukan apa yang sepatutnya.
“Nepal berminat hantar pekerja mereka, kita juga berminat menerimanya tapi insiden itu menyebabkan ia digantung,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas mengenai Senario dan Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia di Parlimen hari ini.
Pada 31 Julai lalu, Pengarah Bestinet, Datuk V. Rathakrishnan menafikan syarikatnya terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram melalui pelaksanaan FWCMS.
Rathakrishnan berkata, dakwaan itu dipercayai bermula akibat salah faham oleh kerajaan Nepal mengenai peranan Bestinet dalam proses kemasukan pekerja asing ke negara ini.
Sementara itu, dalam sidang media sama, Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan mengadakan perjanjian antara kerajaan (G2G) seperti yang dilakukan dengan Kerajaan Bangladesh.
“Pemberhentian adalah dari kerajaan Nepal. Kita tak boleh menentang mereka. Tapi kita mahukan perjanjian bersama kerajaan seperti Bangladesh tetapi sistem akan sama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette