Pegawai Perubatan memberi bantuan awal kepada pekerja kilang ais yang terhidu bau gas amonia.

SHAH ALAM – Pemeriksaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terhadap sebuah kilang ais di Seksyen 36 di sini, di mana berlaku kebocoran gas ammonia semalam mendapati premis itu mempunyai lesen untuk menjalankan aktiviti pemprosesan ais, tetapi tiada lesen atau kebenaran menyimpan bahan berbahaya.

MBSA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengarahkan kilang itu menghentikan operasi sementara bagi memudahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat meneutralkan bacaan paras ammonia di kawasan kilang tersebut.

“Untuk makluman, pihak bomba dan penyelamat berada di lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat dan berusaha memastikan kawasan kilang dan persekitaran kawasan tidak lagi dicemari gas tersebut.

“Pada masa sama, pasukan Pantas MBSA juga berada di lokasi untuk membantu pasukan bomba dan penyelamat serta polis memantau situasi di kawasan tersebut,” demikian menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian 5.12 pagi semalam, 2 pekerja kilang ais terbabit maut, manakala 18 lagi cedera selepas terhidu gas ammonia yang bocor di premis berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, jumlah pekerja kilang ais yang terdedah kepada gas ammonia itu seramai 27 orang, termasuk 2 kematian.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 10 orang diintubasi, 9 diletakkan di bawah pemantauan hospital dan 6 dibenarkan pulang serta mereka diberikan pendidikan kesihatan mengenai tanda keracunan gas ammonia.

Katanya, semua fasiliti kesihatan di Selangor dimaklumkan mengenai kejadian itu supaya membuat pemantauan serta melaporkan kepada bilik gerakan di Crisis Preparedness and Response Centre, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, sekiranya terdapat pesakit yang datang dengan tanda keracunan gas ammonia.

“Kesan keracunan gas ammonia boleh dibahagikan kepada 3 tahap berbeza, iaitu mild (ringan), moderate (sedernana) dan severe (teruk).

“Tanda-tanda keracunan adalah sakit kepala, batuk, kegatalan pada mata, hidung dan ‘drooling of saliva’ (air liur meleleh)…ia juga menyebabkan iritasi dan kelecuran pada kulit yang terdedah.

“Pendedahan yang tinggi akan menyebabkan masalah pernafasan disebabkan oleh saluran pernafasan mengecut (bronchospasm) dan edema di paru-paru…keadaan ini boleh menyebabkan kematian.

“Orang awam yang mengalami tanda dan gejala keracunan gas ammonia dinasihatkan segera pergi ke klinik atau fasiliti kesihatan terdekat untuk mendapatkan rawatan,” katanya. — BERNAA