Eric Paulsen didakwa menerbitkan penerbitan menghasut berhubung dakwaan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggalakkan ekstremisme setiap Jumaat,  di dalam Twitter miliknya.
Eric Paulsen

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan peguam Eric Paulsen dan bekas Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan  atas pertuduhan menerbitkan penerbitan dan mengeluarkan kenyataan menghasut dalam laman sosial.

Hakim M.M Edwin Paramjothy membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun memaklumkan pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan dan tidak berhasrat meneruskan pendakwaan terhadap mereka yang merupakan Orang Kena Saman (OKS).

Mengikut pertuduhan, Paulsen, 45, didakwa menerbitkan penerbitan menghasut berhubung dakwaan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggalakkan ekstremisme setiap Jumaat,  di dalam Twitter miliknya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu  di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Bukit Aman, di sini pada 10 Jan 2015.

Arutchelvan, 51, pula didakwa menerbitkan satu penerbitan yang menghasut di laman sosial Facebook berhubung kenyataan akhbar beliau terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat II Anwar di Pejabat Bahagian Siasatan Perundangan D5, Ibu Pejabat Kontinjen di sini pada 12 tengah hari, 12 Feb 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Arutchelvan  yang diwakili peguam New Sin Yew dan  Paulsen yang diwakili peguam Latheefa Koya ketika ditemui media di luar mahkamah masing-masing berkata mereka amat berpuas hati dan gembira dengan keputusan hari ini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast