Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyambut baik cadangan Perdana Menteri yang mahu mengubah frasa “Saya Yang Menurut Perintah” sebagaimana digunakan dalam perkhidmatan awam sebelum ini.

Menurutnya, penukaran frasa kepada “Saya Yang Menjalankan Amanah” mampu mengubah seseorang daripada perlakuan tidak betul.

Katanya, saranan tersebut akan turut diguna pakai dalam kementerian dalam menjaga kelestarian agensi pertahanan itu.

“Kalau itu saranan Perdana Menteri iaitu “Saya Yang menjalankan Amanah”, kalau perintah itu betul tidak betul dia kena buat. Tapi amanah dia kena pikul tanggungjawab sebagai seorang yang beramanah.

“Dan bagi saya kalau slogan itu digunakan saya sokong,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog dengan pelajar-pelajar Maktab Tentera Diraja di Kem Sungai Besi, di sini malam ini.

Mohamad Sabu berkata demikin ketika diminta mengulas cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu agar frasa yang sinonim dengan dunia perkhidmatan awam itu diubah.

Dalam satu majlis bersama pegawai tadbir dan diplomatik pagi tadi, Tun Dr Mahathir menyatakan pandangan bersetuju untuk menukar frasa Saya Yang Menurut Perintah kepada Saya Yang Menjalankan Amanah selepas ditanya oleh seorang peserta.

Perdana Menteri berkata, frasa Saya Yang Menurut Perintah dilihat menyembunyikan sesuatu bukti jenayah yang dilakukan oleh seseorang individu tertinggi dalam jabatan kerajaan dan ia wajar ditukar.

Sementara itu, Mohamad sabu berkata, pihaknya tidak akan campurtangan berhubung siasatan terhadap seorang daripada pegawai kanannya yang kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, SPRM berhak melakukan siasatan tersebut tanpa diganggu dan bertindak mengikut kewibawaan dan kuasa yang ada.

“Sebarang tindakan oleh pihak SPRM kita tidak akan campurtangan.

“Biarlah mereka bertindak mengikut kewibawaan dan kuasa yang ada kepada mereka. Pihak eksekutif tidak akan campurtangan dalam urusan ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/08/15/tiada-lagi-saya-yang-menurut-perintah/