Fuziah Salleh

PUTRAJAYA – Rakyat negara ini dinasihatkan agar terus berpegang kepada konsep moral dan beretika agar negara tidak menjurus kepada konsep negara maju yang hanya bercirikan kebendaan.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, dalam mencapai objektif Wawasan 2020, kepelbagaian budaya dan agama harus terus dipertahankan dalam negara menuju ke sebuah negara maju kelak.

“Malaysia kelak perlu dikenali sebagai bukan hanya sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi dan pembangunan malahan perlu menjadi sebuah negara yang beridentitikan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya namun dapat bersama dalam suasana yang aman dan hamoni.

“Berbeza daripada konsep negara maju yang lebih bercirikan kebendaan, negara maju yang dicita-citakan Malaysia seharusnya berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama,” katanya dalam ucapan ketika perjumpaan bersama Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JKMPKA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator Waytha Moorthy dan timbalannya, Dr. Md Farid Md. Rafik.

Ujar Fuziah, pegangan kepada falsafah itu penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan.

Sebaliknya, ia hanya akan membawa banyak keburukan kepada masyarakat yang kini sudah dipengaruhi oleh zaman pembangunan teknologi dan maklumat tanpa sempadan.

“Perpaduan nasional harus terus menjadi satu misi penting bagi negara. Ia memerlukan satu kerangka bersifat komprehensif yang akan mampu menterjemahkan sebaik mungkin wajah kerencaman masyarakat majmuk Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuantan itu berkata keadilan, penerimaan dan toleransi perlu menjadi perlu digarap dengan menjadikan perlembagaan sebagai kerangka utama dalam mendukung agenda perpaduan nasional dalam konteks Malaysia.

“Sifat Islam sebagai rahmatan lil álamin  bagi keseluruhan alam, juga dijadikan teras dalam menguruskan perbezaan dan kepelbagaian dalam masyarakat.

“Pendekatan ini amat penting dalam memastikan semua pihak walaupun berlainan agama, bangsa dan budaya, tidak merasa dizalimi ataupun dipinggirkan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette