KUALA LUMPUR – Pelakon dan pelawak popular, Revika Novianti Faturohman atau Vicha mendedahkan pernah didekati jejaka Malaysia namun hubungan kedua-dua mereka tidak menjadi.
Katanya sikapnya yang mudah didekati dan mesra dengan lelaki, menjadi punca seseorang yang tidak dinamakannya itu mengalah dan akhirnya menjadi rakan biasa.
“Mungkin sebab orang yang rapat (mesra) dengan lelaki, ramai kawan lelaki, jadi mungkin yang mahu rapat dengan raya jadi takut.
“Ada yang mencuba tapi tidak jadi sebab kata saya tak serius sebab saya layan semua lelaki sama macam kawan.
“Ada… orang itu pernah mencuba orang Malaysia. Pada akhirnya dia jadi kawan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika hadir di pelancaran rekaan baju Azhar Zainal pada Khamis lalu.
Vicha, 30 tahun walaubagaimanapun tidak terlalu tertekan untuk menamatkan gelaran ‘ibu tunggal’ secepat mungkin, sebaliknya yakin jodoh akan ditentukan oleh Tuhan.
Peserta program realiti Maharaja Lawak Mega (MLM) bersama kumpulan Saywho itu juga tidak menolak jika bertemu jodoh dengan orang Malaysia.
“Saya ikuti sahaja jalan (berserah) kerana saya percaya jodoh, rezeki semua di tangan Allah.
“Kalau misalnya ada jodoh orang Malaysia saya terima, kalau tidak ada, tidak apa-apa tunggu sahaja sampai jodoh datang,” tambahnya.
Vicha dalam masa yang sama memaklumkan sedang dalam proses untuk membawa tiga orang anaknya dari Indonesia berpindah dan menetap di Malaysia.
Selama lima tahun sering berulang alik Malaysia ke Bandung demi anak-anak berharap agar dapat membawa kesemua mereka menetap pada tahun ini.
“Tengah uruskan surat-surat (dokumen) dari sekolahnya yang lama.
“Susah sebab kena ada bapanya kalau mahu urus perpindahan, tapi sebab tidak tahu di mana bapa (bekas suami) mereka saya kena urus sendiri,” jelasnya.
Niat untuk terus menetap di Malaysia bagi Vicha bukanlah bermakna tidak sayang kepada tanah air sendiri namun selain jatuh cinta, rezekinya di sini juga menjadi faktor mahu terus berada di negara ini. – MalaysiaGazette