KUALA LUMPUR -Pengurusan GiatMara Negeri Melaka akan memanggil dan berjumpa dengan semua individu yang terlibat dalam video tular berhubung dakwaan seorang pelatih orang kelainan upaya (OKU) menjadi mangsa buli di GiatMara Durian Tunggal, esok.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelatih yang didakwa menjadi mangsa buli itu juga akan dipanggil bagi membolehkan siasatan lebih terperinci mengikut prosedur pengurusan pelatih sedia ada.
“Saya tegaskan sekali lagi bahawa tiada kompromi terhadap sesiapa yang melakukan perbuatan membuli dalam apa jua bentuk samaada fizikal atau mental.
“Tiada tempat buat PEMBULI di mana-mana Institusi Pendidikan MARA samaada di MRSM, GiatMARA, IKM, KM, KPM, KKTM, KPTM, MJII, GMI, UPTM mahupun UniKL.
“Pengurusan MARA di semua peringkat dan IPMA amat memahami prinsip saya ini. Tindakan paling tegas pasti akan diambil oleh pihak Pengurusan jika didapati wujud salahlaku dan jenayah buli tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Asyraf, siasatan awal mendapati dakwaan tersebut hanyalah gurauan kasar sesama pelatih semasa menjalani latihan di institusi terbabit sebelum ini.
Ketika ini, semua yang terlibat sedang menjalani Latihan Industri dalam Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan, seorang pemuda memuat naik sebuah video berdurasi dua minit mengenai pelajar OKU lelaki yang mempunyai masalah pembelajaran telah menjadi mangsa buli di GiatMara Durian Tunggal, Melaka.
Menerusi video berdurasi dua minit itu, pemuda berkenaan mengakui terkejut apabila pelajar OKU terbabit yang baru dikenali di gelanggang badminton menceritakan kejadian tersebut kepadanya. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















