Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan 2018 juga diluluskan oleh Dewan Negara hari ini.

RUU itu adalah salah satu daripada lima undang-undang bagi membolehkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan pada 1 September ini walaupun Dewan Negara dianggotai majoriti Barisan Nasional (BN).

Rang undang-undang itu lulus selepas undian dibuat dan sebulat suara diluluskan.

Rang undang-undang tersebut diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad.

Dalam penggulungan RUU itu, beliau berkata, pelaksanaan GST yang didakwa efisien tidak bermakna sekiranya rakyat menderita dengan kenaikan harga barang.

“Pelaksanaan SST saya akui, saya tak berani cakap dijalankan sempurna sebab tiada yang sempurna kecuali tuhan saja.

“Saya tak nafi GST lebih telus dan efisien tapi apa makna lebih telus dan efisien, rakyat rasa lebih susah, sengsara? GST ini kenapa PH menang PRU-14, rakyat tolak GST jadi tugas kita untuk laksanakan SST,” katanya.

Seramai 32 senator mewakili BN manakala Pas pula tiga orang daripada keseluruhan 55 ahli Dewan Negara juga bersetuju dan keputusan itu membolehkan SST dilaksanakan kembali bagi menggantikan kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menurut Guan Eng, kadar akan dikenakan bagi GST adalah enam peratus.

Empat lagi RUU yang akan dibentangkan kerajaan hari ini adalah antaranya pemansuhan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 2015, RUU Kastam 2018 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018. – MalaysiaGazette