KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menetapkan harga baru bagi gula tidak lama lagi.
Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, satu pengumuman akan dibuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak lama lagi.
Langkah itu bagi memastikan monopoli terhadap barang kawalan itu dapat diatasi sebagaimana kehendak PH yang mahu membanteras dasar monopoli terhadap barangan keperluan pengguna.
“Satu pengumuman akan dibuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna tentang harga gula dan kami akan tunggu pengumuman yang akan dibuat,” katanya dalam menjawab sesi soal jawab tambahan Senator Datuk Seri Khairudin Samad.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata satu kajian menyeluruh sedang dikaji PH untuk menimbang isu monopoli ini terhadap barang keperluan ini.
Ujarnya, perkara itu harus dilakukan memandangkan harga dunia bagi gula tidak sama dengan harga yang dijual di negara ini.
“Harga gula di peringkat antarabangsa dalam lingkungan RM1.40 sekarang kita lihat harga runcit dalam pasaran adalah RM2.90 mengapa sekali ganda lebih besar.
“Ini adalah masalah kuasa monopoli yang nampaknya tidak memberi kepentingan kepada rakyat. Oleh itu satu pengumuman akan dibuat selepas kajian siap semuanya,” katanya lagi.
Awal bulan ini, KPDNHEP berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan melibealisasikan lesen permit import (AP) gula.
Langkah itu sebagai satu daripada usaha untuk memecahkan monopoli gula seterusnya mengurangkan harga runcit bahan keperluan asas itu. -MalaysiaGazette