Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, perubahan prosedur pelantikan jawatan penting tersebut telah mencipta sejarah di negara ini.
Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen yang bertanggungjawab dalam pelantikan jawatan-jawatan penting negara.

Antara jawatan yang perlu melalui tapisan jawatankuasa itu termasuk Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) serta anggota-anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Dengan perkataan lain, calon untuk jawatan-jawatan penting dalam suruhanjaya kerajaan itu kini perlu disaring dan diluluskan Parlimen sebelum pelantikan berkuat kuasa.

Sebelum ini, pelantikan berkenaan adalah dicadangkan Perdana Menteri dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, sembilan entiti penting termasuk SPR, Suhakam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Ketua Audit Negara akan melapor secara terus kepada Parlimen.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata,  perubahan prosedur pelantikan jawatan penting tersebut telah mencipta sejarah di negara ini.

Beliau yang menerima wawancara Sinchew Daily berkata, walaupun kerajaan Pakatan Harapan baru sahaja mentadbir, tetapi Parlimen tetap perlu mempunyai prestasi yang baik untuk ditunjukkan kepada rakyat.

Katanya, daripada beberapa reformasi Parlimen yang mahu dilakukan Pakatan Harapan, dua daripadanya telah berjaya dilaksanakan.

Reformasi itu ialah membolehkan wakil pembangkang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), memulihkan Akta Perkhidmatan Parlimen, memperkenalkan sesi soal jawab Perdana Menteri serta menubuhkan jawatankuasa pemilihan khas.

Selain itu, masa khusus juga diperuntukkan kepada pembangkang untuk mengusul agenda dan rang undang-undang.

“Dua janji reformasi yang telah dipenuhi ialah pelantikan Pengerusi PAC dalam kalangan wakil pembangkang serta menubuhkan jawatankuasa pemilihan khas untuk memantau pentadbiran kerajaan,” kata Kor Ming.

Jelasnya, sesi soal jawab Perdana Menteri pula akan dibincangkan selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali dari lawatan rasmi ke China.

“Di England, setiap Rabu dijadikan sebagai sesi soal jawab bersama Perdana Menteri dan Perdana Menteri perlu berada di Parlimen untuk menjawab soalan wakil rakyat.

” Siaran akan dilakukan melalui televisyen supaya jawapan Perdana Menteri dimaklumkan kepada semua orang.

“Perdana Menteri juga akan menggunakan kesempatan yang ada untuk memberi maklumat terkini dan mengumumkan perkara penting,” katanya. – MalaysiaGazette