Pasukan penyelamat menggunakan bot bagi membawa mangsa yang terperangkap dalam banjir. foto Agensi

NEW DEHLI – Walaupun situasi banjir di Kerala, India yang kini sudah meragut lebih 400 nyawa, selain jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal namun kerajaan India didakwa enggan menerima sebarang bantuan negara luar.

Sumber yang dipetik Times of India mendedahkan, ketika ini i Kerala berada dalam keadaan yang sukar diramal selepas banjir terburuk dalam tempoh sedekad memusnahkan hampir keseluruhan negeri di selatan India itu.

Antara yang akan menjadi tanda tanya adalah kekangan dana berbentuk wang untuk memulihkan kembali ibu negeri Kochi itu.

Namun sehingga kini kerajaan belum bersedia untuk menerima atau meminta bantuan dana asing.

Malah beberapa negara termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam berikrar untuk menyumbangkan bantuan sebanyak AS$100 juta (RM410 juta), juga daripada Qatar serta Maldives.

Bagaimanapun, semua sumbangan itu telah ditolak.

“Sejak dulu lagi, kita jarang sekali menerima bantuan seperti ini daripada negara asing walaupun berdepan dengan situasi bencana paling buruk sekalipun. Kita masih boleh kendalikan situasi ini dengan sebaik mungkin.

“Sudah tentu kita amat menghargai ikrar dan kesediaan negara asing dalam membantu kita ketika keadaan amat memerlukan namun setakat ini masih mampu tanganinya sendiri.

“Dalam pada itu, seluruh dunia terutamanya golongan diaspora India sedang menghulurkan pelbagi jenis bantuan kepada kita, ianya sangat membantu ketika ini,” katanya kepada Times of India hari ini.

Pendirian ini bukan sesuatu yang baru,malah sebelum ini ketika bencana teruk di Uttarkhand akibat banjir pada 2013, sumbangan dan dana asing tidak diterima oleh kerajan Uttar Pradesh dan Andra ketika itu.

Banjir Kerala
Sebahagian daripada kawasan di negeri Kerala, India yang dinaiki air. foto Agensi

Lebih daripada sejuta orang membanjiri kem perlindungan sementara di negeri Kerala ekoran banjir yang telah mengorbankan kira-kira 410 orang setakat ini.

Kerajaan Kerala berkata, 1.02 juta orang kini berada di 3,200 kem perlindungan sementara di seluruh negeri itu.

Antara daerah paling teruk terjejas ialah Idukki, Wayanad, Pallakad, Malappuram, Kochi dan ibu negeri Thirvananthapuram.

Dalam satu kenyataan terkini, pihak berkuasa menyatakan lapangan terbang Kochi yang paling sibuk di selatan India, akan ditutup hingga 26 Ogos atau diberitahu kelak.

Jabatan cuaca pula meramalkan hujan berterusan dalam tempoh seminggu akan datang dan penduduk yang tinggal di tebing sungai di daerah dilanda hujan diarahkan berpindah.

Sementara nelayan tidak dibenarkan turun ke Laut Arab.

Beberapa empangan, terutamanya empangan Idukki, empangan terbesar di Asia, telah dibuka untuk melepaskan air berlebihan selepas hampir 26 tahun.

Kali terakhir negeri itu dilanda hujan monsun terburuk ialah pada tahun 1924. – MalaysiaGazette