KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan perintah mahkamah bagi mendapatkan perintah mempercepatkan penjualan kapal persiaran mewah Equanimity.
Empat plaintif iaitu 1MDB dan dua anak syarikat 1MDB Energy Holidings Limited, IMDB Global Investment Limited dan kerajaan menamakan pemilik Equanimity yang diandaikan berpangkalan di Kepulauan Cayman sebagai defendan dalam kes yang dikendalikan firma guaman Joseph & Partners.
Dalam notis permohonan itu, keempat-empat plaintif meminta penjualan kapal, bunker, bahan bakar, pelincir dan bahan lain di atas kapal itu dijalankan melalui tender awam atau swasta oleh sheriff atau pendaftar Mahkamah Admiralty.
Firma itu mahu pihak sheriff menerima tawaran untuk kapal itu dan harga pembelian hendaklah dibayar kepada sheriff dalam Dolar Amerika Syarikat , Euro atau Ringgit Malaysia.
Firma itu berkata, hasil jualan kapal itu akan dibayar ke mahkamah dan diletakkan di dalam akaun bank di Malaysia seperti yang diluluskan oleh akauntan negara.
Para sheriff atau plaintif diberi kuasa untuk mengatur dan membayar bagi penghantaran pulang ketua, pegawai dan krew kapal itu.
Menurut firma itu lagi kapal itu mengalami kemerosotan fizikal disebabkan pendedahan kepada laut dan cuaca, dan adalah untuk kepentingan semua pihak agar maka penjualan dapat dilakukan segera untuk mengelakkan penyusutan nilai kapal itu.
“Penyusutan ini akan menyebabkan kesulitan kepada plaintif kerana nilai kapal itu telah disusut nilai dan kos berterusan untuk mengekalkan keadaannya hanya akan mengurangkan jumlah yang akan diperolehi,” katanya.
Pada 6 Ogos, writ saman dikeluarkan kepada “pemilik kapal”, serta Wilson Yacht Management Ltd, syarikat yang mengendalikan Equanimity.
Pendengaran permohonan itu telah ditetapkan esok dan diikuti dengan sidang akhbar.
Kapal mewah itu tiba di Malaysia pada 7 Ogos setelah diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia.
Equanimity telah dirampas di pantai Bali oleh pihak berkuasa Indonesia pada bulan Februari atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada penyelidikan multi-bilion dolar yang dilancarkan oleh DoJ terhadap 1MDB.
Bagaimanapun, mahkamah Indonesia memutuskan pada April bahawa penyitaan itu menyalahi undang-undang dan kapal layar itu hendaklah dikembalikan kepada pemiliknya.
Tetapi pihak berkuasa Indonesia merampas kembali kapal itu pada bulan Julai dan berikutan permintaan rasmi dari AS. Indonesia kemudian bersetuju menyerahkan kapal layar itu kepada Malaysia.- BERNAMA