Mohd Yusop Mohd Amin
Pegawai Khas Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Mohd Yusop Mohd Amin bercakap kepada media selepas Program Skim Usia Emas pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan N.32 Seri Setia, PJS 5/30, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 24 OGOS 2018.

KELANA JAYA – Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia perlu berhati-hati dan telus dalam pengagihan bayaran Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada keluarga waris.

Pegawai khasnya, Mohd Yusop Mohd Amin berkata, meskipun wakil rakyatnya sudah meninggal dunia, namun Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) itu perlu diteruskan bagi menjaga kebajikan rakyat.

“Kerajaan kita hari ini bukan kerajaan sebelum ini, kita kena berhati-hati dengan peruntukan ini kerana duit ini adalah duit rakyat, kita kena uruskan dengan teratur.

“Kita kena pastikan tiada lagi ketirisan, inilah kerajaan baru, semua urusan perlu direkodkan.

“Inilah kerajaan baru hari ini, tiada lagi hanky panky, tiada lagi bawah meja, kerana kita mahu kerajaan yang bersih, telus dan berintegriti,” katanya pada Majlis Penyerahan SMUE di Pusat Khidmat DUN Seri Setia, di sini, hari ini.

MGF24082018_PROGRAMSKIMUSIAEMAS_01
Calon N.32 Dun Seri Setia, Halimey Abu Bakar beramah mesra bersama orang ramai yang hadir selepas Program Skim Usia Emas pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan N.32 Seri Setia, PJS 5/30, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 24 OGOS 2018.

Mohd Yusop juga berkata, pembayaran SMUE bagi kawasan itu tertangguh sejak setahun lalu susulan peruntukan terhad berbanding kes kematian lebih 10 orang pada satu masa.

“Skim ini memberi kesenangan kepada rakyat. Peruntukan DUN hanya RM10,000 tahun lepas sebaliknya ramai meninggal lebih 10 orang dalam satu masa, ia tidak mencukupi untuk membuat bayaran pendahuluan RM1,000 seorang.

“Kita buat tuntutan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Petaling Jaya hari ini, tapi mereka perlu periksa dan memastikan hanya penerima layak menerima bayaran skim ini,” katanya.

Katanya lagi, walaupun bayaran skim itu lewat bagi memastikan dana itu tidak diseleweng dan benar-benar sampai ke waris yang layak.

“Ini bertujuan tiada hanky panky, kita pula perlu kakitangan secukupnya untuk mengagihkan bayaran ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette