YANGON – Nasib dua wartawan agensi berita antarabangsa, Reuters, akan ditentukan pada 3 September selepas didakwa melakukan kesalahan melanggar undang-undah kerahsiaan negara ini.
Penangguhan hukuman itu dilakukan sejurus selepas hakim yang sepatutnya memberikan kata putus pada hari ini tidak sihat dan menangguhkan hukuman kepada September depan.
Agensi berita melaporkan, kedua-dua wartawan itu, Wa Longe, 32 dan Kyaw Soe Oo, 28 yang kini sedang meringkuk dalam penjara Myanmar sejak lapan bulan lepas didakwa memiliki dokumen sulit berhubung etnik Rohingnya.
Mereka dikatakan membuat laporan pendedahan berhubung kekejaman serta nasib Rohingnya dibawah kerajaan Myanmar kepada masyarakat dunia.
Wa Lone dan Kyaw Soe Oo, dipercayai memiliki dokumen sulit dari 2 anggota polis yang bekerja di Rakhine.
Sebelum ini, pelarian Rohingya mendakwa mereka berdepan kekerasan dan keganasan daripada anggota keselamatan Myanmar yang bertugas di kawasan berkenaan.
Kempen berdarah dilakukan tentera yang bermula pada Ogos tahun lalu memaksa 700,000 etnik Rohingya dari wilayah itu melarikan diri ke Bangladesh.
Pelarian menceritakan bagaimana ratusan kampung dibakar ketika pasukan keselamatan terbabit dalam pembunuhan, rogol dan penyeksaan.
Wartawan berkenaan menyiasat pembunuhan 10 lelaki Rohingya September lalu oleh tentera dan ditangkap di Yangon Disember lalu lalu dibawa ke lokasi rahsia.
Pihak berkuasa Myanmar laporkan wartawan dan polis yang terlibat akan didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi dan jika didapati bersalah akan dipenjara 14 tahun.
Banyak pihak turut melahirkan rasa bimbang sejak penahanan dua wartawan itu termasuk Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) selain kritikan dari media dunia dengan menuduh kerajaan Myanmar melakukan pencabulan hak asasi serta kebebasan media disekat. – Malaysia Gazette