SEOUL – Korea Utara telah mengusir seorang pelancong Jepun yang ditahan semasa lawatan ke negara itu.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) berkata, Korea Utara telah mengusir Tomoyuki Sugimoto atas dasar kemanusiaan setelah menahannya kerana disyaki melanggar undang-undang.
Namun, ia tidak menyatakan secara khusus kesalahan yang dilakukan oleh Sugimoto.
Pada awal bulan Ogos lalu, media Jepun melaporkan seorang lelaki warga negaranya telah ditahan di Korea Utara dan pegawai kerajaan cuba mengumpulkan maklumat tentang keselamatannya.
Jepun, selain menuntut Korea Utara meninggalkan program nuklear dan peluru berpandu, juga telah meminta Pyongyang membebaskan rakyatnya yang diculik pada tahun 1970an dan 1980an.
Tokyo menegaskan ia tidak akan memberikan sebarang bantuan ekonomi kepada Pyongyang sehinggalah isu itu diselesaikan dan hubungan diplomatik yang normal telah diwujudkan. – MalaysiaGazette