KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 6 sen seunit untuk dana Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2018.
Setakat 31 Julai 2018, ASW 2020 memperoleh jumlah pendapatan kasar sebanyak RM1.398 bilion, dengan keuntungan daripada penjualan saham menyumbang sebanyak RM718.76 juta atau 51.4 peratus manakala pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat tersenarai dan tidak tersenarai pula menyumbang sebanyak RM468.50 juta atau 33.5 peratus kepada jumlah pendapatan kasar tersebut.
Selebihnya RM210.80 juta atau 15.1 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam sukuk/deposit tetap Islamik serta pendapatan berfaedah.
Sehingga 31 Julai 2018, ASW 2020 merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM1.179 bilion bagi 11 bulan pertama tahun kewangannya.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar sepanjang tahun kewangan tabung, ASNB telah berupaya memberikan pulangan yang baik dan berdaya saing kepada pemegang unit tabung ASW 2020.
Sepanjang tempoh 11 bulan pertama tahun kewangan ASW 2020, FBM KLCI hanya mencatat pertumbuhan sebanyak 0.6 peratus iaitu dari 1,773.2 mata pada 31 Ogos 2017 kepada 1,784.3 mata pada 31 Julai 2018.
ASW 2020 memperuntukkan sebanyak RM1.18 bilion sebagai pengagihan pendapatan kepada lebih 870,000 pemegang unit yang kini memiliki 19.6 bilion unit.
Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASW 2020 adalah berdasarkan purata baki minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan tabung tersebut.
Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2018.
Para pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB myasnb.com.my atau di semua pejabat/ejen ASNB seluruh negara mulai 2 September 2018.
Semua urus niaga untuk ASW 2020 telah ditangguhkan mulai 30 Ogos 2018 sehingga 1 September 2018 untuk pengiraan pengagihan pendapatan. – MalaysiaGazette