Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto MIRZA HASIM, 30 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyamaratakan pelaksanaan gaji minimum di semua negeri di semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan membeza-bezakan kadar gaji minimum sesetengah negeri terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Soal gaji kita akan samakan dengan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Gaji minimun akan sama di semua negeri,” katanya dalam sesi dialog sempena Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang bertindak sebagai moderator.

Turut kelihatan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Hasmah Mohd Ali, dan barisan Kabinet kerajaan.

Menurut Dr Mahathir, kerajaan PH sudah memastikan bahawa barisan Kabinet mempunyai kapasiti yang sama di antara Semenanjung, dan Sabah serta Sarawak.

Ujarnya, menteri yang berasal dari dua negeri itu merupakan individu yang lantang mengemukakan cadangan terhadap rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Kita punya ahli Kabinet yang sama.

“Mereka bukan diam sahaja tetapi mereka menegur lebih banyak dari yang lain,” katanya.

Ditanya mengenai pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan, Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu mengambil kira komposisi rakyat.

Jelasnya, segala infrastruktur yang dibina perlu mengambil kira perkara itu bagi memberikan pulangan kepada pelaburan kerajaan.

“Kita perlu bangunan infrastruktur sama seperti di Semenanjung. Tapi kita kena tengok jumlah penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Sebenarnya kita ambil kita pulangan kepada pelaburan kerajaan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette