Jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) tetap mempertahankan perniagaan baharunya iaitu Lavida Coin (LVC) bukan skim cepat kaya seperti yang didakwa banyak pihak.
Jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) tetap mempertahankan perniagaan baharunya iaitu Lavida Coin (LVC) bukan skim cepat kaya seperti yang didakwa banyak pihak.

KUALA LUMPUR – Jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) tetap mempertahankan perniagaan baharunya iaitu Lavida Coin (LVC) bukan skim cepat kaya seperti yang didakwa banyak pihak.

Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman menjelaskan, LVC adalah urus niaga yang melibatkan mata wang kripto.

“LVC diwujudkan berdasarkan pengalaman saya mendapat pulangan yang baik daripada urus niaga mata wang tersebut.

“Saya komited memastikan LVC ini mematuhi segala peruntukan yang digariskan oleh pihak berkuasa dan diurus berdasarkan tadbir urus yang baik bagi memastikan ketelusannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, DSV turut menyatakan kesediaan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan segala keperluan dari sudut undang-undang dan peraturan dipatuhi.

“Pihak LCV akan mengambil tindakan wajar dan drastik dengan mengadakan perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam masa terdekat sebagaimana yang diperlukan bagi memastikan urus niaga kami menepati kehendak pihak berkuasa,” jelasnya yang difahamkan masih berada di luar negara.

Vida dan pihak LVC turut meminta agar tiada pihak yang mengeluarkan kenyataan mendahului pihak berkuasa.

“Kami ingin meminta mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang mendahului pihak berkuasa berkaitan status LVC.

“Saya berharap semua pihak memberi kepercayaan kepada pihak LVC untuk mengadakan perbincangan dengan tihak berkuasa untuk menyelesaikan segala isu yang dilaporkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette