KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi  amaran kepada mana-mana syarikat Bumiputera supaya menghentikan budaya menjual kontrak kepada pihak ketiga.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sekiranya didapati ada laporan mengenai aktiviti salah-laku itu, kontrak yang diberikan oleh kerajaan akan ditamatkan serta merta.

“Kontrak dapat, dia kena usahakan, jika pindah pada orang lain, maka kontrak itu akan terbatal, minta maaf,” katanya ketika memberi ucapan sempena Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Tambahnya, penerima kontrak seharusnya mengusahakan sendiri bukan mengambil jalan mudah dengan menjual kontrak mereka kepada orang lain.

“Kalau tiada kemampuan laksanakan jangan cuba mendapat kontrak kalau hanya hendak jual kontrak.

“Kita telah ambil peluang orang lain dan kerana tidak mampu kita jual yang mana peluang dan kontrak sepatutnya dapat pada orang lain,” katanya.

Justeru itu, Dr Mahathir mengingatkan orang Melayu dan Bumiputera agar mengubah gaya hidup mereka jika mahu berjaya.

Katanya, bukan kerana bangsa kita Bumiputera atau Melayu kita gagal, tetapi budaya dan pegangan nilai hidup yang tidak boleh memberi kejayaan kepada kita.

“Selagi kekal begini, kita akan terus gagal.

“Pegangan mereka kepada nilai hidup yang membina, kita perlu ubah nilai hidup kita supaya kita mempunyai nilai hidup yang boleh memberi kejayaan kepada kita.

“Rajin berusaha apabila kita mendapat peluang, jangan jual peluang kalau jual peluang, yang kaya orang lain, tabiat ini mesti dihapuskan kena sanggup apabila dapat peluang guna habis-habisan,” katanya.  – MalaysiaGazette