Presiden PRM, Ariffin Salimon berkata sesuatu kepada perwakilan partinya dalam pemilihan parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Parti Rakyat Malaysia (PRM) dalam Kongres Nasional ke-49 mereka hari ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan bertindak tergesa-gesa dalam menukar sistem percukaian negara.

PH didakwa tanpa mengambil kira sentimen rakyat selain daripada tidak mengadakan sesi dialog bersama masyarakat serta pemain industri yang sepatutnya dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang pelaksanaannya.

Dalam usul yang dibentangkan dalam Kongres PRM menyebut, tindakan memansuhkan  Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kemudian digantikannya dengan  Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam tempoh yang singkat dilihat masih membebankan rakyat.

Jelas dalam usul tersebut, penukaran sistem cukai bukan sahaja mengelirukan para peniaga bahkan akan mencetuskan inflasi yang jauh lebih tinggi daripada yang sedia ada.

“Akhirnya peniaga mendapat keuntungan kerana telah menyimpan stok tetapi pengguna pula terpaksa membayar harga lebih tinggi kerana penukaran sistem cukai GST ke SST.

“Pada asalnya, rata-rata rakyat terbeban dengan GST. Kini sebelum melakukan kajian serta implikasi dengan masa yang lebih panjang, kerajaan baharu pula bertindak dengan mengenalkan SST dalam tempoh yang singkat dan tergesa-gesa.

“PRM mengutuk tindakan kerajaan PH yang menukar sistem cukai ini tanpa mengadakan sebarang interaksi atau kajian dengan lebih lama,” sebut usul tersebut .

Dalam pada itu, PRM turut mendesak PH supaya dengan segera mengotakan setiap janji manifesto yang telah memberi harapan kepada rakyat mengundi mereka sehingga berjaya membentuk kerajaan ketika ini daripada terus memberikan alasan serta berdolak dalih.

Jelas usul itu, rakyat mempunyai harapan tinggi menggunung terhadap kepimpinan mereka daripada kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) yang di lihat telah gagal memberi kepercayaan serta mandat untuk memerintah.

Selain daripada itu, PRM turut menolak sebarang cadangan untuk membangunkan projek nasional ketiga yang dianggap gagal sebelum ini.

“Pelaburan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 30 tahun untuk membina Proton telah gagal, dana pembayar cukai banyak digunakan untuk membayar subsidi Proton ketika itu,” kata usul itu.

PRM turut menggesa agar kerajaan baharu lebih berhati-hati dalam mengkaji dasar baharu selain daripada bertindak memansuhkan polisi serta dasar kerajaan lama demi kepentingan dan keutamaan rakyat,” katanya.

Sebelum itu, PRM mengadakan pemilihan secara tertutup dan majlis turut dihadiri Presiden PRM, Ariffin Salimon.– MalaysiaGazette