Infografik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang menunjukkan harga gula Malaysia memang murah berbanding negara-negara lain.
Infografik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang menunjukkan harga gula Malaysia memang murah berbanding negara-negara lain.

KUALA LUMPUR – Harga runcit gula di Malaysia adalah termurah di ASEAN dan dunia setakat bulan Julai lalu.

“Harga runcit gula sekilogram di rantau ASEAN & Dunia setakat Julai 2018. Malaysia termurah,” menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Twitter.

Tiga negara ASEAN yang menjadi pengeluar gula – Thailand, Indonesia dan Filipina menjual gula jauh lebih tinggi masing-masing RM3.04, RM4.50 dan RM4.23 sekilogram.

Malah, Myanmar dan Kemboja yang merekodkan kadar per kapita lebih rendah dari Malaysia pun menjual harga lebih tinggi pada kadar RM4.59 dan RM3.61 sekilogram.

Sebelum 1 September lalu, harga baharu gula pasir kasar adalah RM2.95 sekilogram manakala gula pasir halus RM3.05 sekilogram.

Gula merupakan barang kawalan dan tertakluk di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi memastikan bekalannya sentiasa mencukupi dan dijual pada harga terkawal.

Bagaimanapun, harga komoditi itu diturunkan sebanyak 10 sen mulai awal bulan ini selepas kerajaan mengkaji semula harga gula.

Dengan penurunan sebanyak 10 sen, kini harga gula di pasir kasar RM2.85 dan gula halus RM2.95. Kali terakhir harga kawalan gula bertapis disemak pada 1 Mac 2017.

Kenyataan KPDNHEP itu bertentangan dengan ulasan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini yang mendakwa kerajaan menjalankan kajian menyeluruh ke atas masalah struktur disebabkan oleh kuasa monopoli yang menyumbang kepada masalah kenaikan harga barang keperluan, termasuk gula.

Kata Guan Eng, sebagai contoh, harga runcit gula di peringkat antarabangsa hanya RM1.40 (satu kilogram) namun harga di Malaysia sebanyak RM2.90 (setiap kilogram).

Sumber industri memberitahu, sebenarnya harga gula mentah sahaja yang jatuh dan kemerosotan harga itu melebihi 30 peratus.

Gula mentah itu perlu diproses dan ia masih membabitkan kos, selain mengambil kira kejatuhan gula mentah bukan kekal.

Ia disebabkan peningkatan pengeluaran di luar jangka dari India dan Thailand yang merupakan pengeluar gula mentah kedua dan keempat terbesar dunia.

Pengeluaran gula dunia diunjur mencecah paras 187.6 juta tan metrik pada tahun lepas dan tahun ini dan ia merupakan lonjakan melebihi 11 peratus berbanding tahun lalu.

Meskipun harga gula mentah merudum namun ia tidak memberi keuntungan besar kepada industri memandangkan harga gula mentah itu dibeli dengan mata wang Amerika Syarikat.

Nilai mata wang Malaysia telah susut kira-kira 4 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat.

Ringgit didagangkan sekitar RM3.84 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 berbanding RM4.12 sekarang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast