KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa proses siasatan yang adil dijalankan terhadap wartawan Malaysiakini yang ditahan kerana didakwa meminta suapan sebanyak RM20,000 berhubung penerbitan artikel kartel warga Pakistan menyeludup pekerja migran ke Malaysia.
Dalam pada itu, Presidennya, Jais Karim mengingatkan pengamal media di negara ini agar berpegang pada kod etika kewartawanan kerana amalan rasuah boleh mencemar profesion kewartawanan.
“SPRM mendakwa bahawa penahanan tersebut bukan disebabkan oleh artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini.
“Sebaliknya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyatakan bahawa wartawan itu ditahan selepas didakwa menerima rasuah sebanyak RM20,000 daripada seorang ejen yang berurusan dengan pekerja migran.
“Rasuah tersebut didakwa sebagai bayaran supaya dua artikel mengenai ejen tersebut tidak diterbitkan. Ejen berkenaan kemudian membuat laporan kepada SPRM yang membawa kepada operasi penahanan.
“MCW menegaskan bahawa integriti dan etika kewartawanan adalah asas kepada kebebasan media. Sekiranya dakwaan terhadap wartawan adalah benar, tindakan tersebut bukan sahaja mencemarkan nama baik profesion kewartawanan tetapi juga mengkhianati kepercayaan masyarakat terhadap media sebagai pemantau kepada ketelusan dan keadilan.
“Namun begitu, MCW juga menekankan bahawa proses undang-undang yang adil mesti dijalankan. Setiap individu berhak untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, wartawan Malaysiakini direman empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah selepas disyaki meminta dan menerima wang kira-kira RM20,000 daripada seorang ejen pekerja asing warga Pakistan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Beveniyah R Jothi di Mahkamah Majistret Putrajaya, pada Sabtu.
Lelaki berumur 40-an itu direman sehingga 4 Mac ini selepas permohonan dibuat oleh SPRM.
Sementara itu, Jais berkata, MCW menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh bagi memastikan semua bukti dikumpulkan dengan tepat dan tanpa prejudis.
“Dalam masa yang sama, MCW menyeru semua pengamal media untuk sentiasa mematuhi kod etika kewartawanan dan menghindari sebarang bentuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
“Kebebasan media datang dengan tanggungjawab besar dan adalah penting bagi wartawan untuk menjaga integriti mereka dalam menjalankan tugas.
“MCW akan terus memantau perkembangan kes ini dan berharap agar kebenaran dapat ditegakkan demi kepentingan awam dan integriti profesion kewartawanan di Malaysia,” ujar. – MalaysiaGazette
















