PUTRAJAYA – Walaupun terpaksa berdepan dengan impak berikutan keputusan untuk menjalankan kajian terhadap senarai barangan bagi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) namun kerajaan akur demi kepentingan rakyat.
Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pihaknya sedia maklum dengan impak yang bakal ditanggung oleh kerajaan seandainya terus melakukan pengecualian cukai SST pada masa tiga bulan akan datang bagi senarai barangan tertentu tetapi sanggup menanggungnya demi rakyat biasa.
“Kecil atau besar implikasi kewangan ini akan kita tentukan selepas kajian mendalam yang akan dilakukan oleh kita dalam masa terdekat ini. Seperti yang anda semua sedia maklum, sebarang pindaan pastinya akan memberi impak kepada jumlah kutipan yang bakal di kutip.
“Kerana itu juga, kita dengan tergesa-gesa memastikan melakukan pindaan segera terhadap makanan-makanan seperti ikan masin dan udang kering itu agar memastikan rakyat biasa dapat menikmati makanan mereka tanpa di himpit oleh cukai SST ini.
“Benar, kita akan berdepan dengan cabaran dan implikasi seandainya melakukan pindaan pada senarai pengecualian SST pada barangan tertentu pada masa akan datang. Oleh yang demikian, kita perlu jalankan kajian secara mendalam,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas berhubung SST di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Jelas Guan Eng, akan ada lebih banyak pengecualian akan dibuat malah pihaknya mahu menggunakan pendekatan lebih mesra dan ‘lembut’ bagi melaksanakan SST mengenakan cukai antara lima, sepuluh peratus manakala enam peratus bagi cukai perkhidmatan.
“Kita akan mengambil pendekatan lembut sebagai sebuah kerajaan yang saling memerlukan ahli perniagaan. Tiada hukuman penjara atau denda.
“SST merupakan cukai yang lebih lembut dan sepatutnya lebih baik daripada GST melainkan untuk barangan mewah. Namun mereka yang mampu membeli barangan mewah maka mereka perlu bayar cukai.
“Ini bukan senarai statik. Ia merupakan senarai dinamik dan juga organik. Dinamik untuk peralatan dan organik bagi barangan makanan. Apa yang perlu di fahami adalah, senarai-senarai boleh berubah mengikut keperluan.
“Dalam pada yang sama, kita juga sedang melakukan pertemuan dengan semua pihak seluruh negara bagi memberi pemahamaan lebih baik. Saya telah bertemu dengan orang ramai di Sabah semalam, hari ini ke Seremban,” ujarnya.
Sebanyak 11,197 barangan dikenakan cukai GST semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dan senarai itu telah dimansuhkan pada 1 Jun lalu.
Di bawah SST, hanya 5,612 barangan dikenakan cukai jualan sebanyak sepuluh peratus manakala 793 barangan dikenakan cukai lima peratus.
Sebanyak 5,443 barangan pengguna dikecualikan daripada cukai tersebut. – MalaysiaGazette