Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Buku Suatu Perjalanan Hidup di Bangunan Pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 03 SEPTEMBER 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Buku Suatu Perjalanan Hidup di Bangunan Pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 03 SEPTEMBER 2018.

BANGI – Perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai cadangan kerajaan Selangor meminda umur minimum bagi seseorang wanita berkahwin dinaikkan kepada 18 tahun disambut baik kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, kerajaan tidak menjangka Selangor akan menjadi negeri pertama yang bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menaikkan had umur perkahwinan daripada 16 kepada 18 tahun.

“Alhamdulillah. Tapi perkara itu duduk enakmen negeri Selangor. Hasrat PH untuk melihat ini dalam konteks undang-undang maknanya Selangor telah lebih awal daripada apa yang kita jangkakan di peringkat persekutuan.

“Itu pencapaian yang baik,” katanya selepas melancarkan buku berjudul Suatu Perjalanan Hidup: Menghayati Harapan Masyarakat karya Prof Dr Denison Jayasooria di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah pindaan tersebut harus dilakukan kerana baginda bimbang terhadap kesan perkahwinan bagi seseorang perempuan yang terlalu muda dalam kalangan masyarakat sekarang.

Titah itu dizahirkan baginda dalam sesi pembukaan persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 di Shah Alam pagi tadi.

Mengulas mengenai itu, Mujahid berkata, Putrajaya sedang merangka untuk meminda dua akta utama dalam isu ini.

Antaranya Akta Perkahwinan 1976 dan Akta Perkahwinan Undang-undang Islam (Akta Wilayah Persekutuan).

“Disitu umur yang diberi adalah kalau 16 tahun kebawah, pengantin perempuan kena mohon izin. Kalau Islam, selain umur 16 tahun, dia kena mintak izin daripada Mahkamah syariah.

“Jadi isu ini kita nak selaraskan tahap umur kedua-dua individu itu mesti 18 tahun,” katanya.

Tambah Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, kerajaan masih meneliti dan menilai semula serta mendapatkan khidmat pakar-pakar Islam dalam meminda akta-akta berkenaan.

“Saya mengandaikan kalau tidak ada apa yang penghalang, kami juga melihat kepada keseluruhan akta itu yang perlu kepada pindaan lain.

“Kita tidak mahu ambil satu kemudian pinda, lebih baik kita tengok secara menyeluruh kemudian kita pinda sebab itu kita ambil masa yang panjang.

“Mungkin awal tahun depan kita akan ada satu draf untuk kerajaan perkenalan had umur 18 tahun ini tanpa ada pengecualian,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.