Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018
Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib golongan gelendangan terutama kanak-kanak walaupun kepimpinan negara telah bertukar.

Sungguhpun terpaksa membesar dalam keadaan serba kekurangan namun ia bukan penghalang untuk mendapatkan pendidikan di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK).

Sekolah tersebut merupakan satu-satunya sekolah khas untuk anak-anak gelandangan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, SBJK merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan menyediakan akses pendidikan kepada kanak-kanak gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

“Pembelajaran di SBJ memberi penumpuan utama kepada pembangunan agama atau moral dan sahsiah diri murid bagi membolehkan murid SBJK diterima oleh masyarakat.

“Sejak mula beroperasi pada 2013, KPM dan pengurusan sekolah SBJK telah mengatur pelbagai strategi dan dengan sedaya upaya melaksanakan pelbagai program agar murid di SBJK mencapai matlamat yang disasarkan.

“Daripada jumlah murid kira-kira 41 orang kini ianya sudah mencecah sehingga 155 sehingga Ogos 2018 malah sudah melebihi kapasiti iaitu sebnayak 150 orang. Ini juga kerana inisiatif KPM memastikan tiada siapa yang tercicir,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Asmak Husin tentang perkembangan pencapaian pelajar SBJK untuk kanak-kanak gelandangan sejak ianya ditubuhkan selain daripada bentuk bimbingan kerohanian yang telah dijalankan di sekolah khas itu.

Tambah Nie Ching, keberhasilan murid SBJK tidak boleh dibandingkan dengan pencapaian murid arus perdana kerana masing-masing menghadapi cabaran serta suasana berbeza.

“Calon lulus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2017 ialah seorang murid berbanding tahun sebelumnya tiada yang lulus pada 2016.

“Dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, dua telah lulus pada 2017 berbanding seorang pada 2016. Semua ini menunjukkan kemajuan dari tahun ke tahun.

“Malah berdasarkan rekod, seorang murid SBJK berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke Tingkatan Enam ketika ini dan bakal menduduki Sijil Tinggi Peperiksaan (STPM) di Sekolah Menengah Putrajaya pada tahun ini manakala seorang lagi sudah berjaya menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil,” ujarnya.

Dalam pada itu, jelas Nie Ching, SBJK juga berjaya mengembangkan bakat murid dalam bidang muzik dengan penubuhan kumpulan muzik sendiri yang mula membuat persembahan dalam acara dan majlis rasmi KPM serta luar.

“Kita juga sentiasa prihatin dan fokus dalam menyediakan kursus dan latihan amali bagi membentuk sahsiah, jati diri dan mengukuhkan asas kerohanian agar murid dapat bersaing selain menyediakan mereka ke pasaran pekerjaan yang lebih baik daripada berterusan menjadi gelandangan,” tegasnya. – Malaysia Gazette