Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Tindakan Peguam Negara memohon menarik balik kes Lim Guan Eng di mahkamah merupakan penghinaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara yang merupakan badan yang dihormati selama ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu merupakan titik hitam kepada sistem perundangan di Malaysia.

“Walaupun berdasarkan perlembagaan, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk meneruskan atau menarik balik kes tetapi ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang munasabah.

“Peguam Negara perlu menjelaskan kapada rakyat sebab-sebab kenapa permohonan menarik balik kes. Dari segi peraturan, sebelum kes diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, aduan perlu disiasat oleh SPRM.

“Saya penuh yakin sebagai badan bebas yang mempunyai integriti yang tinggi, SPRM telah menjalankan siasatan dengan telus dan profesional. Selepas siasatan selesai, barulah SPRM menyerahkan kertas siasat serta cadangan kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

“Peguam Negara pula akan meneliti dan mengkaji kertas siasatan. Jika didapati ada prima facie kes maka barulah Peguam Negara menyediakan kertas pertuduhan dan seterusnya membuat pertuduhan di mahkamah.

“Ini bermakna sebelum Guan Eng dihadapkan ke mahkamah, ia melalui prosedur yang sangat ketat dan lengkap. Lebih-lebih lagi kes ini telah pun bermula dan sedang berjalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera memberitahu, terlalu menghairankan mengapa Peguam Negara memohon kepada mahkamah untuk menarik balik kes ini, lebih-lebih lagi kes yang sudahpun berjalan dengan 25 saksi telah pun dipanggil.

Menurutnya, penarikan balik kes itu memberi implikasi yang besar kepada SPRM yang seolah-olah Peguam Negara tidak mempercayai siasatan SPRM sedangkan SPRM lah yang paling mengetahui secara terperinci kes berkenaan.

Maka, katanya, tidak hairanlah kenapa pihak SPRM membuat kenyataan terkejut dengan tindakan Peguam Negara ini dan rakyat lebih terkejut kerana sebelum ini Tommy Thomas adalah peguam di dalam kes Guan Eng ini.

“Tindakan Peguam Negara amat membimbangkan kerana beberapa kes yang melibatkan pemimpin Pakatan Harapan juga digugurkan sebelum ini. Maka Peguam Negara mesti memberi penjelasan kepada persoalan daripada rakyat ini.

“Peguam Negara tidak wajar menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan bagi kepentingan politik individu,” ujarnya.

Menurutnya, kuasa yang diberi hanya boleh digunakan untuk sebab-sebab yang munasabah dan berdasarkan perundangan.

“Jadi, Peguam Negara mesti berikan penjelasan. Jika tidak pihak kerajaan mesti mengambil tindakan terhadap beliau termasuk memecat Peguam Negara,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast