KUALA LUMPUR – Perodua memperkenalkan wajah baru Alza, kenderaan pelbagai guna (MPV) 7 tempat duduk dalam pasaran tempatan.
Harga bermula dari RM51,490 hingga RM62,690, Perodua Alza terbaharu didatangkan dalam varian Standard (MT), Standard (AT), SE (AT) dan Advance (AT).
Kesemua varian dikuasakan dengan enjin 1.5 liter 3SZ-VE DVVT yang disambungkan kepada transmisi manual lima kelajuan pada Standard MT dan transmisi automatik empat kelajuan pada varian yang lain.
Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd. Datuk Dr Zahari Husin berkata, Alza terbaharu menawarkan keselesaan, lebih praktikal, fleksibiliti dan ruang yang cukup untuk tujuh orang.
Ciri-ciri yang baharu dalam kesemua varian antaranya grafik panel instrumen dan kluster tengah yang direka semula, serta kunci kawalan jauh two-motion (tekan sekali untuk membuka pintu pemandu, tekan dua kali untuk membuka kesemua pintu).
Aliran penyaman udara ke barisan tempat duduk ketiga bertambah baik dengan adanya ciri baharu termasuk sirip tetap yang terletak di antara corong udara tengah hadapan serta penambahbaikan kepada sistem penyejatan dan saluran pertukaran haba.
Semua varian dilengkapi dengan lampu kabus depan, spoiler belakang, stereng kulit, filem tingkap keselamatan dan solar, sensor belakang dan aloi 15 inci dengan kemasan warna perak pada varian Standard dan titanium pada varian SE dan Advance.
Varian Standard dan SE dilengkapi dengan sistem audio baharu dengan fungsi USB dan Bluetooth, manakala varian SE dan Advance kali ini tampil dengan lebih berani dan menonjol, dengan bumper depan baharu, gril depan bar berkembar baharu dan skirt sisi baharu.
Bumper belakang baharu dan garisan hiasan turut menghiasi sudut belakang kenderaan tersebut.
Ciri-ciri lain yang ada pada varian SE dan Advance adalah rekaan baharu tempat duduk kulit dan sensor sudut depan, manakala Advance secara eksklusif dilengkapi dengan monitor pasang siap di bumbung dan sistem multimedia dengan skrin sesentuh berasaskan Android dengan fungsi pintar (Smart Link), Bluetooth, navigasi dan kamera undur.
Untuk ciri keselamatan, Perodua Alza baharu dilengkapi dengan dua beg udara hadapan, ABS dengan pengedaran kuasa brek elektronik (EBD), bantuan brek dan poin ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak di barisan tengah, memberikan model ini penarafan keselamatan empat bintang oleh ASEAN NCAP.
Zahari berkata, tempahan Alza baru kini dibuka mulai hari ini.
Katanya, sebanyak 344,200 buah Alza telah dijual sejak pengenalan model itu pada tahun 2009. – MalaysiaGazette