PETALING JAYA – UMNO dan Pas bersedia untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan daripada Pakatan Harapan (PH) sekiranya kerajaan baharu itu tidak tahu untuk mengurus negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengalaman pertama PH menjadi kerajaan dan berbahas di Parlimen, hampir keseluruhan Menteri Kabinet dan Ahli Parlimennya gagal menjawab dengan baik setiap persoalan yang dibangkitkan oleh pembangkang.
“Menteri mereka terketar-ketar menjawab soalan daripada Ahli Parlimen UMNO, MIC, MCA dan Pas. Mereka tidak ada pengalaman menjadi kerajaan.
“Untuk menutup kelemahan itu, mereka menjawab dengan menyalahkan kerajaan BN yang lalu dan Ahli-Ahli Parlimen dari blok pembangkang,” katanya ketika menyampaikan ceramah mega kesatuan blok pembangkang di PJS 8, dekat sini, malam ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri; Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi; dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO di semua peringkat memberi jaminan akan turun membantu habis-habisan di Seri Setia untuk memastikan calon Pas, Dr Halimah Ali menang kerusi itu, sekali gus menambah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Katanya, UMNO memberi laluan kepada Pas bertanding di Seri Setia kerana parti itu telah memberi laluan kepada UMNO bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sri Kandis pada 4 Ogos lalu.
“Justeru, kita akan memberi komitmen penuh dalam PRK DUN Seri Setia ini untuk kemenangan Pas.
“Komitmen kita bukan saja dalam bentuk pidato, tetapi dalam bentuk gerak kerja yang bersepadu,” katanya. – MalaysiaGazette