Tan Chee Teong
Tan Chee Teong

KUALA LUMPUR – Pengalaman dikutuk dan dimarahi ketika berkempen sedikit pun tidak melunturkan semangat calon MCA, Tan Chee Teong untuk tetap setia dalam perjuangannya.

Menceritakan suka duka sepanjang tempoh 21 hari berkempen, Chee Teong berkata, ada yang marah kepadanya kerana dianggap telah salah memilih parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong.

Bagaimanapun beliau menganggap ia satu perkara yang perlu ditempuh sebagai seorang ahli politik dan harus berfikiran positif demi menjaga kebajikan bersama.

“Tujuan saya memasuki politik adalah untuk membantu orang. Inilah yang mendorong saya untuk meneruskan usaha saya.

“Dulu politik senang, tetapi sekarang politik lebih rumit dan ramai hilang keyakinan dalam politik. Semua orang ingatkan politik sebagai satu ‘penipuan’ tetapi sebenarnya, politik pada asalnya adalah untuk membantu dan membangunkan masyarakat.

“Saya sedia menghadapi cabaran dalam PRK Balakong ini,” katanya pada sidang media di bilik gerakan operasi MCA hari ini.

Chee Teong berkata, beliau cuba melawat ke semua tempat untuk mendengar suara penduduk di kawasan Balakong sepanjang tempoh berkempen.

Namun, setiap kali beliau melihat ada individu bertengkar tentang sesuatu isu hatinya akan merasa sedih, katanya.

“Selama dua dekad, saya kesal melihat semua orang saling bertengkar dan sudah lupa tujuan asal politik. Misi saya adalah untuk membuat kebaikan, dan membantu semua orang.

“Inilah sebab saya sanggup mengambil cabaran ini dan saya jamin untuk berusaha menjadi sebuah pembangkang yang konstruktif.

“Saya akan berani bersuara dan memastikan semak dan imbang, kerana inilah tanggungjawab sebuah pembangkang,” tegasnya.

Mengulas lanjut katanya, beliau percaya hanya pembangkang sahaja yang mampu menggalas tugas untuk memperbetulkan kerajaan dan suara rakyat adalah penting untuk didengari oleh kedua-dua pihak.

Jelasnya, semua itu tidak boleh dilakukan tanpa sokongan daripada rakyat dan PRK Balakong ini merupakan referendum bagi memberi isyarat kepada kerajaan terhadap bantahan dan teguran berhubung apa yang telah berlaku selepas PRU-14.

“Politik adalah perjuangan semua rakyat. Jika dipilih, ia bukan untuk saya sendiri, tetapi untuk mewakili anda semua.

“Jika saya berjaya menjadi ADUN, saya akan berusaha membangunkan kawasan kita. Saya sudi menjadi suara anda, dan berkhidmat untuk anda.

“Saya berasal dari Batu 11 Cheras dan saya dibesarkan di sini. Saya mengharapkan masa hadapan yang lebih baik.

“Balakong adalah tempat saya dan saya akan bersamanya sampai ke akhir,” ujar beliau yang merupakan anak tempatan di Balakong. – MalaysiaGazette