Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk S. Vigneswaran di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 DISEMBER 2016
Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk S. Vigneswaran di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 DISEMBER 2016

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Negara yang telah berlangsung selama 10 hari sejak 20 Ogos lepas telah ditangguhkan hari ini sehingga ke satu tarikh yang belum ditentukan.

Yang DiPertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran sebelum menangguhkan mesyuarat menegaskan, kemuliaan dewan tidak kira Dewan Rakyat atau Dewan Negara perlu sentiasa terjaga.

Jelas beliau, terdahulu pelbagai spekulasi seperti kononnya Rang Undang-Undang Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan diluluskan tampak tidak betul dan ia bukan tempat mempraktikkan politik jumud.

“Semua RUU yang sama ada diluluskan atau tidak membuktikan hanya satu perkataan penting, ahli-ahli Dewan yang mulia hanya mempunyai satu kepentingan iaitu memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

“Saya amat pasti akan memperhebatkan lagi keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi berparlimen negara kita, saya pasti kita bersama-sama akan mempertahankan prinsip-prinsip demokrasi dengan jalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan betul,” ucapnya.

Vigneswaran berkata, kestabilan dan kemantapan politik di bawah sistem demokrasi berparlimen bergantung kepada ahli-ahli kedua-dua dewan di Parlimen Malaysia.

“Ahli-Ahli Dewan disaran agar memikul tanggungjawab yang lebih besar kerana kita adalah ahli badan legislatif tertinggi negara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila setiap ahli memahami, memelihara dan mendukung prinsip-prinsip demokrasi, saya percaya dan yakin kesejahteraan rakyat serta kepentingan tanahair akan selalu terjamin dalam proses penggubalan undang-undang,” tegasnya.

Beliau turut menaruh harapan tinggi dalam sidang Dewan Negara akan datang kualiti dan cara perbahasan akan dipertingkatkan lebih daripada kini.

“Saya ingin tegaskan setiap ahli wajib patuh kepada peraturan mesyuarat supaya Dewan ini sentiasa dan akan dihormati sehingga bila-bila. Dengan ini, saya tangguhkan Dewan sehingga ke tarikh yang tidak ditetapkan,” katanya.- MalaysiaGazette