Ketua Majlis Istisyari Wadah, Datuk Dr Siddiq Fadzil berucap pada majlis Seminar Gerakan Islam dan Perubahan Politik di Bangi Convention Centre (BBC), Bandar Baru Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 SEPTEMBER 2018.

BANGI – Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya diberikan laluan mudah untuk menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Majlis Istisyari Wadah (MIW), Datuk Dr Siddiq Fadzil berkata, kesepakatan antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim dalam melakukan transaksi kuasa perlu dihormati rakyat kerana perkara itu telah diterima oleh semua parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Memang seharusnya dia (Anwar Ibrahim) yang menjadi Perdana Menteri sejak PRU yang lalu lagi. PRU13 sepatutnya dia sudah jadi Perdana Menteri tetapi entah bagaimana tertangguh dan kali ini ketika kemenangan PH, beliau berada dalam penjara.

“Bila sudah keluar penjara, seharusnya dia jadi PM dan nampaknya Perdana Menteri sekarang (Tun Dr Mahathir Mohamad) sangat memahami aspirasi rakyat yang seperti itu jadi memang seharusnya diberi laluan yang mudah dan licin bila sampai masanya,” katanya dalam sidang media dalam seminar Gerakan Islam dan Perubahan Politik bertajuk ‘Dari Reformasi ke Malaysia Baharu: Rahmat untuk Semua di Pusat Konvensyen Bangi hari ini.

Hadir sama dalam seminar berkenaan adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Ahmad Azam Ab Rahman.

Dr Siddiq mengulas mengenai langkah PH yang mempertaruhkan Anwar Ibrahim di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson tidak lama lagi.

Ia bagi memberikan laluan kepada Anwar untuk terjun ke arena politik sekaligus mengukuhkan kedudukan beliau sebagai bakal Perdana Menteri kelapan sebagaimana yang diputuskan oleh PH sebelum ini.

Dalam pada itu, Dr Siddiq yang juga Tokoh Maal Hijrah 2018/1440 turut berkata Deklarasi Permatang Pauh (DPP) yang dimeterai pada 1998 perlu dijadikan gagasan utama PH.

Ujar beliau, tujuh agenda dalam deklarasi yang ditulis sendiri Anwar perlu diterapkan gabungan itu dalam pentadbiran kerajaan baru.

“Rakyat Malaysia penting mengetahui 7 agenda Deklarasi Permatang Pauh sebab apa yang terjadi pada 9 Mei 2018 adalah kemuncak rentetan panjang bermula daripada deklarasi terbabit.

“Jangan anggap, jangan lihat tiba-tiba saja berlaku perubahan 9 Mei, ia tidak terjadi begitu saja, ia ada rentetan peristiwa yang panjang dan pangkalnya ialah DPP 1998 oleh Anwar Ibrahim,” katanya lagi.

DPP adalah permulaan kepada gelombang kebangkitan rakyat yang menginginkan perubahan besar dalam kepimpinan negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast