KULAI – Kerajaan Negeri Johor bersedia meneruskan kerjasama dengan SAJ Ranhill, sekiranya syarikat itu masih berkemampuan membekalkan bekalan air bersih dan stabil pada kadar tarif yang rendah kepada rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse dalam pada itu tidak menafikan bahawa sudah terdapat syarikat tempatan telah menawarkan diri untuk menjadi pembekal bekalan air bersih baharu di negeri ini bagi menggantikan SAJ Ranhill.

Katanya, ia susulan cadangan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian pada bulan lepas yang mahu menubuhkan sebuah syarikat air Johor sendiri dalam memastikan pihaknya dapat mengawal tarif air di negeri ini.

“Cadangan penubuhan syarikat baharu ini masih lagi di peringkat perbincangan yang sangat awal sebab sekiranya SAJ Ranhill mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik, maka, kerajaan negeri akan meneruskan perkhidmatan mereka.

“Tetapi, jika mereka (SAJ Ranhill) tidak dapat buat kerja yang bagus dan selalu wujud masalah atau aduan daripada rakyat berkaitan gangguan air atau aduan kenaikkan tarif air, maka, kita kena tengok dan pandang dari sudut lain pula iaitu sama ada keperluan untuk menubuhkan syarikat baharui itu perlu atau pun tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menggulas perkembangan penubuhan syarikat air baharu itu dalam satu sidang media selepas menyaksikan Pertandingan Futsal di Taman Manis, di sini, hari ini.

Menurutnya, selagi Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan di negeri ini, pihaknya tidak akan membenarkan SAJ Ranhill menaikkan kadar tarif air sesuka hati, selain pada masa sama akan berusaha mencari kaedah terbaik untuk menurunkan tarif bagi membantu rakyat.

Bagaimanapun, kaedah berkenaan tidak bermaksud kerajaan negeri harus mengambil alih SAJ Ranhill kerana ia bukanlah satu pilihan yang mudah dan murah memandangkan syarikat berkenaan adalah sebuah syarikat persendirian yang tidak boleh dipaksa jual, katanya.

“Memang itu merupakan salah satu pilihan untuk menurunkan kadar tarif air tetapi kalau kita ada pilihan lain yang lebih murah dan lebih senang dilaksanakan, mengapa perlu ambil jalan yang susah.

“Saya juga telah banyak kali menjelaskan bahawa tidak pernah dalam manifesto kami (PH) mahu membeli SAJ Ranhill. Itu dalam manifesto Barisan Nasional (BN), bukan PH. Sebaliknya, sasaran kita adalah untuk menurunkan kadar tarif air,” katanya.

Jimmy berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan SAJ Ranhill untuk menentukan kadar tarif air yang baharu bagi tahun 2019-2022 , bagi menggantikan tarif air pada 2015-2018.

Selain itu, SAJ Ranhil juga katanya sedang dalam proses menukarkan 7,000 km paip secara berperingkat dalam tempoh masa lima tahun ini.

“Penukaran paip yang uzur dan sudah lama itu adalah bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan SAJ Ranhill. Ia bermula di Kelapa Sawit, Kulai melibatkan Kampung Baru Cina.

Berikutan itu, kawasan berkenaan yang melibatkan 5,000 akaun telah mengalami gangguan air sejak minggu lalu dan dijangka ia berlarutan hingga akhir bulan ini.

“Kemudiannya, penukaran paip kepada jenis PVC yang lebih mudah diselenggara itu akan dilakukan di kawasan-kawasan kampung dan Felda serta sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette