KOTA BHARU – Penerbangan terus yang dilancarkan oleh syarikat penerbangan Malindo Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Surat Thani, Thailand ke Kota Bharu bakal menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata penerbangan antarabangsa terbaharu itu akan memberi ruang kepada pihaknya untuk mempromosikan Kelantan kepada pelancong asing.
“Melalui penerbangan ini, pelancong asing dari pelbagai negara yang melancong ke Thailand diberi peluang menikmati percutian di Kelantan.
Kita jangka ini akan memberi peluang untuk kita mempromosikan negeri ini sekaligus meningkatkan jumlah kedatangan pelancong asing ke Kelantan bagi mencapai sasaran keseluruhan 5.23 juta pelancong domestik dan antarabangsa setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan lebih 50 pelancong antarabangsa di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini hari ini menerusi penerbangan sulung Malindo Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Surat Thani.
Turut hadir Pengurus Besar Malaysia Airport Sdn Bhd (MAB), Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, Abdul Halim Othman.
Melalui kerjasama itu, Malindo Air akan mengadakan penerbangan dua kali seminggu bagi laluan berkenaan iaitu pada setiap Isnin dan Selasa.
Md Anizam berkata pihaknya akan menyediakan kemudahan antaranya beca elektrik secara percuma bagi memberi peluang kepada pelancong mengenali Kelantan dengan lebih dekat.
“Pelancong akan dibawa mengelilingi bandar Kota Bharu untuk mengenali budaya dan warisan Kelantan, keindahan alam semula jadi serta menikmati makanan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Halim berkata LTSIP menerima kira-kira 40 penerbangan sehari dengan hampir 2,000 penumpang pada hari biasa.
Katanya, jumlah itu meningkat kepada hampir 60 penerbangan pada waktu puncak dengan 3,000 penumpang dan10 peratus daripadanya adalah pelancong luar negara.
— BERNAMA