Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bergambar kenangan bersama Menteri Tenaga, Sains Teknologi dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin (kanan) dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggie (kiri) pada Program Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cepsi di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenal satu skim subsidi elektrik baharu, skim subsidi bil elektrik buat 179,000 ketua isi rumah yang berdaftar dalam sistem e-Kasih dalam masa terdekat.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, ia merupakan subsidi bersasar membabitkan golongan tidak berkemampuan.

“Bantuan ini dikhususkan buat mereka yang benar-benar miskin dan kita akan laksanakannya secepat mungkin.

“Perincian berhubung skim ini sedang dikemaskini dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Industri bekalan Elektrik (CEPSI 2018).

Bertemakan ‘Reimagining Utility of the Future’, persidangan enam hari itu dihoskan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat.

e-Kasih adalah sistem pangkalan data yang dibangunkan untuk menyokong perancangan, pelaksanaan dan memantau program membasmi kemiskinan negara.

“Lebih banyak perincian akan diumumkan selepas kerajaan menjalankan kajian menyeluruh mengenai perkara ini,” kata Yeo.

Dalam perkembangan lain, Bee Yin berkata, Rang Undang-Undang Kecekapan Tenaga bakal dibentangkan dalam sesi Parlimen pada pertengahan tahun hadapan.

“Rang undang-undang berkenaan akan dirangka pada pertengahan Oktober dan kita akan buat siapkan secepat mungkin untuk dibentangkan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast