MOSCOW – Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa peluru berpandu era Soviet yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 Milik Malaysia Airlines empat tahun lalu telah dihantar ke Ukraine dan ia tidak pernah dibawa balik ke Rusia.
Siasatan yang diketuai Belanda pada akhir Mei lalu berkata, peluru berpanduk Buk yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu datang daripada sebuah brigade anti pesawat Rusia yang berpengkalan di bandar Kursk.
Rusia menafikan penglibatan dalam insiden pada Julai 2014 yang meragut 298 nyawa di kawasan yang dikuasai puak pemisah di timur Ukraine.
Pada sidang media yang mendakwa pendedahan fakta baharu mengenai
kemalangan pesawat Boeing, B777 itu, Kementerian pertahanan Rusia berkata, pembuat Buk menerusi arkibnya menunjukkan peluru berpandu itu dibuat pada
1986 dan dibawa ke barat Ukraine.
“Selepas kejatuhan Soviet, ia tidak bergerak (dibawa balik) ke Rusia,”
kata agensi berita milik kerajaan, RIA Novosti yang memetik Leftenan
Jeneral Nikolai Parshin semalam.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Mejar Jeneral Igor Konashenkov mendakwa para penyiasat Belanda ‘memalsukan’ video pengangkut Buk dan laluan kenderaan pelancar ke tapak pelancaran.
Konashenkov mendakwa audio tentera Ukraine bercakap menerusi telefon
semasa latijhan pada 2016 yang dipintas juga mendapati negara itu terlibat dalam insiden MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Ketua Majlis Keselamatan Nasional Ukraine, Oleksandr Turchynov memberitahu Interfax Ukraine bahawa sidang media Kementerian Pertahanan Rusia adalah ‘satu lagi pemalsuan Kremlin yang tidak berjaya’.
Siasatan yang diketuai Belanda menyatakan ia akan ‘mengkaji dengan teliti’ bahan baharu yang dibentangkan itu apabila mereka memperolehnya. – Agensi