KUALA LUMPUR – Polisi-polisi populis oleh kerajaan termasuk pelepasan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selama tiga bulan dan pemberian subsidi minyak bakal merangsang perbelanjaan pengguna pada tahun ini.
Faktor tersebut turut dipacu dengan pertumbuhan ekonomi dan paras inflasi yang rendah.
Kerajaan telah melaksanakan sifar GST pada 1 Jun sehingga 31 Ogos lalu sebelum memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan menetapkan subsidi minyak bagi RON95 dan diesel.
Keyakinan itu berdasarkan keyakinan pengguna dan peningkatan jualan runcit sejak awal tahun ini.
Selain itu, Fitch Solutions Macro Research berkata, peningkatan unjuran itu disokong oleh permohonan berterusan dalam pinjaman isi rumah yang membentuk sebahagian besar daripada keseluruhan pinjaman pengguna.
Ini akan mewujudkan peluang untuk perbelanjaan barangan yang besar, menurut firma itu dalam nota penyelidikannya.
Bagaimanapun, katanya, perbelanjaan swasta dijangka perlahan pada tahun 2019 berikutan penyelarasan semula SST pada suku keempat tahun ini, yang mana kesannya dirasai pada suku pertama dan suku kedua tahun depan.
Ini disebabkan para pengguna telah berbelanja lebih pada suku ketiga tahun ini selepas sifar GST.
Firma penyelidikan itu menambah, Malaysia kekal sebagai pasaran pengguna yang sangat menarik di Asia.
Ia mengunjurkan pertumbuhan perbelanjaan swsta kekal pada 8.5 peratus pada tahun ini berbanding 7 peratus pada tahun lalu, hasil dasar-dasar populis yang diperkenalkan oleh Pakatan Harapan.
Unjuran pertumbuhan perbelanjaan swasta bagi tempoh 2018-2020 adalah 5.8 peratus, melepasi purata serantau 5.3 peratus. – MalaysiaGazette